Populasi manusia dijangka merosot

Oleh – Syeikh Baran


Populasi manusia dijangka merosot
BILANGAN penduduk di dunia akan berkurangan menjelang akhir abad ini. – Foto AFP

Kadar kesuburan di hampir semua negara di dunia diramal menjadi terlalu rendah dan tidak mampu mengekalkan tahap populasi sedia ada menjelang akhir abad ini, demikian menurut satu kajian seperti laporan saluran berita Fox News kelmarin.

Menurut kajian oleh Institut Kesihatan Metrik dan Penilaian (IHME) di Seattle, kebanyakan peningkatan kadar kelahiran di dunia dijangka berlaku di negara-negara miskin.

Penyelidik kanan IHME, Stein Emil Vollset berkata, trend kadar kesuburan rendah itu akan membawa kepada ‘ledakan’ dan ‘kemerosotan’ kelahiran bayi di seluruh dunia.



Vollzset menjelaskan bahawa ledakan kelahiran akan tertumpu di negara-negara berpendapatan rendah yang lebih terdedah kepada ketidakstabilan ekonomi dan politik.

Kajian dilaporkan dalam jurnal perubatan The Lancet itu mengunjurkan bahawa sejumlah 155 daripada 204 negara dan wilayah di seluruh dunia atau 76 peratus diramalkan mempunyai kadar kelahiran rendah di bawah paras penggantian populasi menjelang 2050.

Namun, angka tersebut dijangka meningkat kepada 198 negara atau bersamaan 97 peratus menjelang 2100.

Ramalan itu dibuat berdasarkan kepada tinjauan, banci dan sumber data lain yang dikumpulkan dari tahun 1950 hingga 2021, sebagai sebahagian daripada Kajian Beban Penyakit, Kecederaan dan Faktor Risiko.



Menurutnya, lebih tiga perempat daripada kelahiran akan berlaku di negara-negara berpendapatan rendah dan sederhana rendah menjelang akhir abad ini.

Pasukan penyelidik terbabit menyatakan bahawa lebih daripada separuh kelahiran bakal berlaku di negara-negara sekitar Gurun Sahara di Afrika.

Kadar kesuburan global iaitu purata bilangan kelahiran bagi setiap wanita telah menurun daripada kira-kira 5 kanak-kanak pada tahun 1950 kepada cuma 2.2 pada 2021, demikian menurut data tersebut.

Menjelang 2021, sebanyak 110 buah negara dan wilayah mempunyai kadar kesuburan di bawah paras penggantian penduduk iaitu 2.1 kanak-kanak bagi setiap wanita. – AGENSI

Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker