Dua ditahan, cuba seludup diesel bersubsidi

Nibong Tebal: Membuat pembelian minyak diesel bersubsidi di beberapa stesen minyak sekitar Pulau Pinang menggunakan lori dengan tangki diubahsuai, kemudian memindahkannya ke lori tanker berkapasiti lebih besar.

Taktik itu bagaimanapun terbongkar selepas empat pegawai penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) membuat serbuan ke atas sebuah lori tanker dan lori bounded tujuh tan di Nibong Tebal, di sini, kira-kira jam 7 pagi semalam.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP negeri, A Mogan berkata, serbuan dijalankan hasil daripada risikan dan maklumat diterima.



“Semasa serbuan anggota penguat kuasa menemui sebuah lori tanker jenis Hino berwarna biru gelap yang mempunyai tangki berkapasiti 17,000 liter serta sebuah lori bounded bermuatan tujuh tan jenis Nissan (UD) Kuzer yang didapati mempunyai enam tangki fiber berkapasiti 1,000 liter setiap satu yang diubahsuai.

“Hasil pemeriksaan mendapati lori tanker mempunyai kira-kira 16,000 liter minyak diesel, manakala lori bounded mempunyai kira-kira 1,200 liter minyak diesel yang ketika itu terdapat dua lelaki sedang menjalankan aktiviti pemindahan barang kawalan berkenaan.

“Minyak diesel ini didapati dibeli di sekitar stesen minyak sekitar Pulau Pinang,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, dua lelaki warga tempatan yang juga pemandu lori ditahan untuk siasatan lanjut.



“Dalam serbuan itu, kita menyita dua lori termasuk tangki fiber, mesin pam dan hos paip dengan anggaran keseluruhan bernilai RM148,800,” katanya.

Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

METRO



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button