Gadis terpaksa berhenti belajar angkara tumor



Alor Setar: Hasrat seorang gadis untuk memiliki kemahiran dalam bidang jahitan tidak kesampaian apabila terpaksa berhenti belajar selepas disahkan menghidap ketumbuhan Inflammatory Myofibroblastic (IMT) dua tahun lalu.

Ketumbuhan di antara bahagian hati dan jantung Nurul Husna Mohd Radzhi, 21, itu menyukarkan untuk dia bergerak dan terpaksa menjalani pembedahan membuang sebelah paru-paru kanannya selain terpaksa membuat pembedahan membuang separuh usus saluran makanannya.

Ini kerana ketumbuhan itu berada di antara paru-paru dengan jantung menyebabkan pembedahan itu terpaksa dilakukan segera.

Menurut bapanya, Mohd Radzi Bhari, 54, berkata, anaknya dikesan menghidap penyakit itu ketika dia sedang menuntut di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) di Jitra dalam sijil kursus jahitan.



Katanya, anaknya memang minat menjahit tidak sempat meneruskan pengajian selepas dia sakit sehingga menyukarkan pernafasannya.

Mohd Radzi berkata, anak bongsu dari dua beradik itu menjalani sudah dua pembedahan itu di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada 11 Februari lalu kerana itu saja cara untuk rawatan buat anaknya.

Katanya, doktor memberitahu ketumbuhan yang dialami anaknya itu agak luar biasa kerana jarang dihidapi oleh orang lain.

“Kini saya yang menguruskan anak saya berulang alik ke HKL dengan menaiki bas ekspres berdua untuk menjalani rawatan di sana.



“Isteri saya meninggal dunia ketika Nurul Husna berusia 13 tahun dan mempunyai seorang lagi anak lelaki berusia 23 tahun yang kini bekerja di Pulau Pinang.

“Saya tidak mempunyai wang simpanan, upah menoreh getah sekitar RM500 sebulan cukup sekadar untuk makan minum kami sahaja,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Menerong, Mukim Bukit Lada, Pokok Sena di sini, hari ini.

Menurut Mohd Radzhi, sebelum ini anaknya sudah menjalani enam kali rawatan kemoterapi di Hospital Pulau Pinang (HPP) sejak tahun 2021 tetapi sel ketumbuhan itu semakin agresif.

Katanya, doktor memaklumkan rawatan kemoterapi tidak lagi sesuai buat Nurul Husna kerana ia tidak mematikan sel tumor itu malah lebih aktif.



“Disebabkan itu, doktor mengesyorkan supaya anak saya menjalani rawatan radioterapi di HKL yang dijangka dilakukan pada September depan.

“Untuk ke HKL kami perlukan sekurang-kurangnya RM500 untuk kos perjalanan, penginapan dan makan tapi jika tinggal pada jangka masa panjang di sana, kami memerlukan banyak perbelanjaan tapi saya tak mampu,” katanya.

Sementara itu, Nurul Husna berkata, dia berasa di bahagian dada jika dalam keadaan sejuk menyebabkan dia tidak selesa.

Katanya, dia kuatkan semangat untuk meneruskan rawatan susulan demi menyelamatkan nyawanya.



“Dulu masa mula-mula sakit, berat badan saya turun daripada 60 kilogram kepada 34 kilogram tetapi selepas rawatan dilakukan, berat saya sekarang sudah 47 kilogram dan semakin baik tetapi rawatan perlu diteruskan,” katanya.

Sehubungan itu, orang ramai yang ingin menyalurkan sumbangan boleh menghubunginya di talian 013-5077802.

Sementara itu, Pengerusi Cancer Survivors Malaysia (CSM), Zuraini Kamal yang mengunjungi pesakit itu turut menghulurkan sumbangan wang tunai untuk kegunaan harian keluarga itu selain barangan keperluan dapur.

Beliau berkata, pihaknya akan memberi sokongan moral kepada Nurul Husna supaya dia dapat meneruskan rawatannya di HKL sehingga sembuh.

METRO



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker