Teruskan Khidmat Bakti Untuk Rakyat

KUALA LUMPUR – Ketua UMNO Bahagian Sungai Petani, Datuk Shahanim Mohd Yusof mengajak seluruh ahli parti khususnya di bahagian berkenaan untuk terus bergerak dalam satu pasukan dalam usaha meneruskan khidmat bakti kepada rakyat.

Menerusi ucapannya pada majlis taklimat dan perasmian serentak persidangan cawangan bahagian berkenaan, beliau seterusnya mengalu-alukan masyarakat di luar sana untuk bersama-sama dengan parti berkenaan bagi kepentingan bersama.

“Dengan niat kerana Allah demi membela agama, bangsa dan negara selamat bersidang buat semua UMNO cawangan, wanita, pemuda dan puteri bahagian Sungai Petani. Kami mengalu-alukan setiap kehadiran untuk menjadi ahli keluarga UMNO. UMNO parti keramat dulu kini selamanya dan setia kami penuh semangat ‘bersatu, bersetia, berkhidmat’, kita terus berkhidmat, demi rakyat,” katanya.



Turut serta pada majlis berkenaan pimpinan cawangan empat peringkat.

Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO sebelum ini telah menetapkan bahawa tarikh persidangan Cawangan, Bahagian dan Perhimpunan Agung UMNO bagi tahun 2022 dilaksanakan bermula 15 Ogos.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dalam kenyataan medianya memaklumkan Persidangan UMNO Cawangan bermula 15 Ogos hingga 18 September 2022, Mesyuarat Perwakilan Wanita UMNO, Pemuda UMNO dan Puteri UMNO Bahagian pada 7, 8 dan 9 Oktober 2022, manakala Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian pada 14, 15 dan 16 Oktober 2022 serta Perhimpunan Agung UMNO 23 hingga 26 November 2022.



Shahanim seterusnya menambah khidmat dan bakti kepada penduduk setempat terus dilipatgandakan meskipun selama ini UMNO/Barisan Nasional (BN) tidak diberikan mandat oleh masyarakat setempat.

“Cuma pada kali ini UMNO Sungai Petani memohon kepada warga setempat untuk memberi peluang kepada calon yang boleh memberi khidmat bakti kepada rakyat di saat rakyat susah dan memerlukan.

“Kepada mereka yang hanya pandai berjanji menghasut jangan lagi diberi peluang sebaliknya bagi kami sekali peluang, insya-Allah akan kami buktikan yang kami lebih baik dan mampu memberi khidmat bakti.

“Sungai Petani nampak gah namun hakikatnya tidak ada satu pun pembangunan untuk anak-anak Sungai Petani. Kita tidak ada satu pun kompleks sukan… kita tidak ada satu pun MRSM atau sekolah berasrama penuh. Kita tidak ada satu pun IPTA dan kita tidak ada tabung kebajikan serta bencana alam di saat rakyat memerlukan malah kami tak pandai berkata dan berbicara. Cuma kami diajar bekerja dan berkhidmat kerana kami lahir dari sebuah parti keramat,” tambahnya.



UMNO Online

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button