Anak penoreh getah terajui UN-Habitat



Anak penoreh getah terajui UN-Habitat

 

TENTU beliau seorang wanita yang hebat apabila dilantik semula menyandang jawatan Pengarah Eksekutif Program Penempatan Manusia, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN-Habitat) untuk tempoh dua tahun lagi.

Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif, 61, dilantik ke jawatan itu setelah menang kali pertama pada pemilihan sesi Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) di New York, Amerika Syarikat pada 22 Disember 2017. Ketika itu, beliau menggantikan penyandang jawatan sebelumnya, Dr. Joan Clos dari Sepanyol.

Pelantikan penggal pertama berkuatkuasa 20 Januari 2018 dan disambung untuk tempoh penggal kedua, dari 20 Januari 2022 hingga 19 Januari 2024 baru-baru ini.

Bercakap kepada agensi berita rasmi antarabangsa China, Xinhua, pelantikan semula itu dibuat atas saranan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres dan diluluskan sebulat suara tanpa undian.

Wah! hebat betul wanita Malaysia ini dipilih tanpa undian.

KEMISKINAN TIDAK HALANG ANAK PENOREH BERJAYA KE MENARA GADING

Berasal dari Kuala Pilah, Negeri Sembilan dan merupakan anak kepada penoreh getah, Maimunah membuktikan kemiskinan keluarga tidak menghalangnya untuk tekun belajar sehingga ke menara gading.

Kegigihannya menyahut cabaran akademik telah membuahkan kecemerlangan apabila beliau berjaya melanjutkan pelajaran ke Universiti Sains Malaysia (USM) dan kemudian menjadi graduan University of Wales, United Kingdom.

Dengan pelantikan itu, Maimunah muncul anak tempatan dan wanita pertama di Asia memegang jawatan tersebut.

Beliau sentiasa menjadi yang pertama apabila rekod menunjukkan Maimunah pernah menjadi wanita pertama dilantik sebagai Yang Dipertua Majlis Perbandaran Seberang Perai pada 2011.

Nampaknya Maimunah bukanlah calang-calang orang kerana sebelum menjadi Ketua UN-Habitat, beliau merupakan Datuk Bandar Pulau Pinang dan berpengalaman lebih 30 tahun dalam perancangan bandar, penjanaan semula bandar dan pembangunan yang diterajui komuniti.

Sejak menyertai PBB, Maimunah berjaya meletakkan semula UN-Habitat sebagai peneraju pemikiran dalam perbandaran lestari.

Katanya, pelantikan semula untuk penggal kedua itu adalah satu mandat besar yang perlu digalas dan dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab.

“BANYAK CABARAN JAWATAN INI”


“Banyak cabaran yang saya sudah tempuh sejak mula menyandang jawatan ketiga tertinggi PBB ini pada 2018. Saya yakin kepercayaan dan sokongan yang diberikan keluarga, majikan dan kakitangan membantu saya melaksanakan semua tugas yang diberi dengan baik,” kata ibu kepada dua cahaya mata perempuan ini.

Menurutnya, faktor minat yang mendalam terhadap bidang tugasnya turut mendorongnya untuk terus bersemangat menjalankan tugas tanpa jemu.

Mengulas lanjut wanita kebanggaan Malaysia ini menjelaskan bahawa bidang tugasnya amat luas iaitu menerajui UN-Habitat di 93 negara, selain melaksanakan program anjuran PBB ke arah mewujudkan masa depan bandar yang lebih baik di seluruh dunia.

Antara lain misi UN-Habitat adalah mempromosikan pembangunan penempatan manusia yang mapan dari aspek sosial dan alam sekitar serta tempat perlindungan mencukupi untuk semua yang menetap di kota metropolitan, bandar mahupun luar bandar.

Mengimbau pelantikan pertama pada 2018, katanya, beliau telah diminta untuk menggubal pelan strategik baharu bagi pelaksanaan tugas yang digalas.

“Visi dan misi tugas ketika itu adalah mempromosi kualiti hidup yang lebih baik untuk semua meliputi perumahan, pekerjaan, kesihatan, pendidikan, kesejahteraan dan migrasi.

“Misi ini akan diteruskan dan diperkukuhkan sepanjang penggal kedua ini.

“Pelaksanaan program dalam mencapai visi dan misi itu bukan hanya melibatkan manusia tetapi juga haiwan dan tumbuhan di darat serta laut,”katanya yang kini bertugas di ibu pejabat UN-Habitat di Nairobi, Kenya.

Beliau berada di Malaysia pada 4 Ogos hingga 11 Ogos lalu dan sempat melakukan kunjungan hormat ke pejabat Perdana Menteri di Putrajaya sebelum pulang ke Nairobi.

Apa yang boleh dilihat daripada pelantikan semula ini adalah ia membuktikan kemampuan rakyat Malaysia di peringkat antarabangsa.



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker