Jenazah Toh Puan Zurina selamat disemadi, PM ucap takziah

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menzahirkan ucapan takziah kepada bekas Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Dr Mohd Khalil Yaakob dan keluarga atas kehilangan isterinya, Toh Puan Zurina Kassim hari ini.

“Didoakan semoga keluarga Allahyarhamah sabar serta tabah menghadapi dugaan ini.

“Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarhamah dan ditempatkan bersama-sama para solehah. Al-Fatihah,” katanya menerusi catatan di laman Facebook rasmi beliau hari ini.



Allahyarhamah meninggal dunia di rumahnya di Bukit Damansara di sini kira-kira jam 10.10 pagi tadi.

Zurina, 78, dilahirkan di Duyong, Melaka pada 13 Julai 1944, mendirikan rumah tangga dengan Mohd Khalil pada 28 Februari 1965 dan dikurniakan tiga anak.

Sementara itu, jenazah Allahyarhamah selamat dikebumikan di Makam Pahlawan Melaka di Masjid Al-Azim, dekat Bukit Palah, di sini sebentar tadi.

Jenazah tiba di masjid berkenaan kira-kira jam 8.30 malam sebelum disembahyangkan dengan diimamkan Mufti Negeri, Datuk Wira Abdul Halim Tawil yang turut mengetuai bacaan talkin.



Lebih 1,000 jemaah menyertai solat jenazah berkenaan.

Yang turut hadir, Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Mohd Rustam dan isteri, Toh Puan Asmah Abd Rahman; Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali serta beberapa pemimpin negeri.

Terdahulu, Allahyarham Zurina dimandi dan dikafankan di Masjid Saidina Ali, Bukit Katil kira-kira jam 6.15 petang sebelum jenazahnya dibawa ke Dewan Seri Negeri, Ayer Keroh bagi tujuan penghormatan terakhir pemimpin dan rakyat negeri ini.

BHOnline



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button