Jesus terbaik di Liga Perdana Inggeris – Ronaldinho

LONDON: Legenda bola sepak Brazil, Ronaldinho menganggap rakan senegaranya, Gabriel Jesus sebagai salah seorang pemain terbaik di Liga Perdana Inggeris selepas berpindah ke Arsenal.

Jesus menyertai skuad kendalian Mikel Arteta pada musim panas ini selepas mengharungi enam musim bersama Manchester City.

Penyerang Brazil itu tidak menunggu lama untuk membuktikan ketajamannya selepas mendapat kepercayaan The Gunners di Emirates.



Selepas pra-musim yang positif, Jesus memulakan kempen dengan membarisi kesebelasan utama Arsenal ketika menewaskan Crystal Palace pada hari pembukaan liga.

Dalam kemenangan 4-2 ke atas Leicester hujung minggu lalu, Jesus menunjukkan potensi sebenarnya dengan meledak dua gol dan membantu dua gol lagi.

Ronaldinho sudah lama mengagumi Jesus. Pada tahun 2017, dia berkata Jesus mempunyai potensi untuk mengatasi pencapaian Lionel Messi sebagai pemain terbaik dunia.

“Ketika Gabriel menyertai Manchester City saya berkata, dia akan menjadi salah seorang pemain terbaik di dunia.



“Apabila diberikan peluang, dia membuktikan kemampuannya – tetapi di Manchester City dia tidak mendapat layanan sepatutnya.

“Di Arsenal, dia menjadi tumpuan utama pasukan, diberi kepercayaan sepenuhnya oleh jurulatih dan peminat, dan dia membalasnya dengan segera.

“Musim ini saya menjangkakan sesuatu yang lebih besar daripadanya. Dia bukan saja akan menjadi pemain terbaik di Liga Perdana Inggeris, tetapi juga di Eropah,” kata Ronaldinho.

AGENSI



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button