Beri graduan TVET peluang – Noraini

Oleh Azrin Muhammad

 

Beri graduan TVET peluang - Noraini
Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad menyampaikan ucapan secara maya dalam Persidangan Pembangunan Pendidikan Vokasional dan Teknikal Dunia yang berlangsung di Tianjin, China, semalam.



KUALA LUMPUR – Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mahu pemain industri antara Malaysia dengan China mewujudkan peluang kepada graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) ke arah pembangunan lebih dinamik.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, setakat ini Malaysia cukup berpengalaman untuk mengendalikan program pembelajaran sepanjang hayat termasuk penggabungan kaedah pengajaran dan pembelajaran inovatif seperti Kepintaran Buatan dalam kurikulum TVET.

“Antara inisiatif yang telah dilaksanakan adalah menubuhkan Majlis TVET Negara, Badan Koordinasi TVET Kerajaan-Industri (GITC) dan pengisytiharan 2 Jun sebagai Hari TVET Kebangsaan.

“Malaysia juga melaksanakan Program Dermasiswa TVET untuk golongan B40 yang mengikuti pengajian dalam bidang TVET di universiti awam,” katanya ketika berucap secara maya, di sini semalam.

Terdahulu, Noraini menerima jemputan daripada Menteri Pendidikan China, Huai Jin Peng untuk menyampaikan ucapan secara maya dalam Persidangan Pembangunan Pendidikan Vokasional dan Teknikal Dunia.

Penganjuran kali pertama itu merupakan usaha Kementerian Pendidikan Republik Rakyat China, Suruhanjaya Kebangsaan China untuk UNESCO dan Kerajaan Rakyat Perbandaran China yang dihadiri 500 jemputan secara fizikal di Tianjin, China.

Dalam masa sama, sebanyak 14 Menteri Pendidikan daripada Argentina, Brazil, United Kingdom, Ethiopia, Mongolia, New Zealand, Pakistan, Russia, Singapura, Switzerland, Venezuela dan Malaysia telah menyampaikan ucapan.

Turut hadir mewakili Malaysia di Tianjin secara fizikal, Pemangku Pengarah, Education Malaysia Beijing (EMB), Jason Choy Min Sheng.

Sementara itu, Noraini sempat menzahirkan harapan kementerian untuk bekerjasama antara agensi kerajaan dengan pemain industri di Malaysia dan China.

“Saya berharap Malaysia dan China dapat meningkat serta menyediakan pengalaman kerja kepada lebih ramai pelajar dan graduan TVET di kedua-dua negara,” katanya.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker