Calon BN kena semak tunggakan saman JPJ

AYER KEROH: Barisan Nasional (BN) menetapkan setiap nama yang dicadangkan sebagai calon untuk dipertimbangkan bertanding Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) perlu melepasi lima tapisan pihak berkuasa.

Timbalan Pengerusinya, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata selain pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), mereka juga perlu melepasi tapisan Mahkamah Syariah.

“BN di setiap Parlimen perlu hantar sekurang-kurangnya lima nama dan boleh ditambah mengikut keperluan beserta latar belakang pendidikan, pengalaman pekerjaan dan sebagainya.

“Kami perlu bersedia awal sebelum memilih individu yang benar-benar layak untuk diangkat sebagai calon.

“Kami akan mengemukakan nama berkenaan untuk tapisan PDRM, iaitu Jabatan Siasatan Jenayah dan Cawangan Khas, selain SPRM, Jabatan Insolvensi dan Mahkamah Syariah.

“Mereka juga perlu menyemak di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) serta Trafik PDRM, sama ada mempunyai tunggakan saman atau tidak.

“Ini kerana jika dibawa ke mahkamah dan dijatuhi hukuman denda melebihi RM2,000, ia akan menyebabkan mereka hilang kelayakan untuk menjadi calon,” katanya berucap pada sesi perjumpaan bersama Jentera BN Melaka, di sini hari ini.

Sementara itu, Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO mencabar BN Melaka untuk memenangi lima daripada enam kerusi Parlimen pada PRU-15 kelak.

Katanya, beliau menyerahkan kepada Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh untuk memastikan hasrat itu tercapai.

“Saya tidak kira apa cara sekali pun, yang penting BN perlu menang lima kerusi Parlimen di Melaka,” katanya.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker