City bangkit daripada ketinggalan 3-1
NEWCASTLE: Pep Guardiola berkata Newcastle kini adalah antara pencabar terkuat Liga Perdana Inggeris selepas Manchester City kendaliannya terpaksa bangkit untuk seri 3-3.
City bangkit daripada ketinggalan 3-1 di tangan The Magpies yang mendahului permainan menerusi Miguel Almiron, Callum Wilson dan Kieran Trippier.
Erling Haaland mencetus kebangkitan City sebelum Bernardo Silva memastikan satu mata.
City melonjak ke tangga kedua, dua mata di belakang Arsenal, tetapi terlepas peluang melebarkan jurang kepada tujuh mata ke atas Liverpool yang akan bertemu Manchester United malam ini.
“Newcastle kini antara lawan paling sukar. Leeds menewaskan Chelsea hari ini. Liga Perdana Inggeris amat sukar untuk semua orang.
“Anda perlu mengalami pengalaman ini untuk mengetahui betapa hebatnya apa yang kami lakukan sepanjang lima tahun lalu dan bagaimana sukarnya ia.
“Melihat pasukan berjuang hingga ke akhir sudah mencukupi,” kata Guardiola.
Newcastle mengutip empat mata daripada dua perlawanan pertama musim ini tanpa dibolosi.
Rekod itu dipadamkan selepas lima minit bertemu City di St James’ Park, di mana Ilkay Gundogan membuka jaringan hasil hantaran Silva.
“Perlawanan yang hebat dan emosi bercampur-campur. Kami ketinggalan 1-0 dan ia sesuatu yang buruk apabila berdepan pasukan sebegini, kerana kami perlu mengejar.
“Tetapi saya rasa pemain-pemain bangkit dengan hebat. Kami memerlukan sesuatu daripada perlawanan ini dan ia berhasil,” kata pengendali Newcastle, Eddie Howe.
AFP