LATIHAN PENERBANGAN BERTUKAR MENJADI MISI MENYELAMAT



SUBANG – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) melalui Stesen Udara Maritim Subang (SUMS)
telah menyelamatkan lima pemancing yang terkandas 15 jam di Pulau Batu Berantai dengan kedudukan jarak 1.4 batu nautika Barat Laut Pantai Remis, Jeram, Selangor pada jam 10.20 pagi .
Ketua Stesen Udara Maritim Subang, Kepten Maritim Syed Islam bin Shahajam berkata, Pesawat AW139 yang diterbangkan oleh Leftenan Komander Maritim Mohamad Azrol bin Saidi sebagai Komander Pesawat;
Bersama pembantu juruterbang, Leftenan komander Maritim Azizi bin Zalkepeli dan tiga lagi kru pesawat termasuk perenang penyelamat berlepas dari SUMS pada jam 9.30 pagi menuju ke perairan Kapar, Klang bagi melakukan rutin latihan penerbangan termasuk latihan ‘winching’ sebelum menjumpai sekumpulan pemancing tersebut (30 minit kemudian).
Keputusan pantas untuk menyelamatkan lima pemancing itu dibuat oleh juruterbang sebaik sahaja menyedari lambaian meminta tolong, serta keadaan laut bergelora di kawasan itu boleh merisikokan nyawa pemancing sekiranya mereka hanyut kerana tidak memakai jaket keselamatan.
Identiti kelima-lima mangsa ialah Mohd Yazid bin Basir, 37, Zamri bin Romli, 39, Mohd Razwan bin Hussin, 48, ketiga-tiganya berasal dari Tanjung Karang;
Manakala dua lagi mangsa ialah Hamidi bin Rohani, 70, dan Tohid bin Sangon, 65, adalah berasal dari Jeram, Selangor.
Kesemua mangsa berjaya diselamatkan oleh ‘rescue swimmer’ Maritim Malaysia yang membawa mereka naik ke atas pesawat menggunakan teknik ‘winching’ – Memindahkan mangsa menggunakan tali sekitar jam 10.25 pagi.
Setelah dipindahkan ke pesawat, kesemua pemancing segera diterbangkan ke SUMS untuk mendapatkan rawatan kerana mangsa dalam keadaan lemah dan masih trauma.
Menurut salah seorang mangsa, Mohd Razwan bin Hussin, mereka bertiga yang berasal dari Tanjung Karang dihantar menaiki sebuah bot ke Pulau Batu Berantai pada jam 7.20 petang, sepatutnya pulang.
Namun sekitar jam 8.30 pagi, bot itu tiba dan menurunkan dua lagi pemancing dari Jeram di lokasi kejadian kerana pengendali bot mempunyai urusan lain di Pulau Angsa.
Setelah itu, bot itu akhirnya tidak muncul dan dipercayai terkandas akibat cuaca buruk sebelum mereka melihat pesawat helikopter Maritim Malaysia berlegar di kawasan perairan tersebut lalu mereka melambaikan tangan meminta pertolongan kerana bimbang keadaan laut yang semakin membahayakan.
Tambah Razwan lagi, mereka tidak dapat menghubungi sesiapa bagi meminta pertolongan kerana barang-barang peribadi mereka seperti telefon bimbit dan peralatan seperti jaket keselamatan dan perkakas memancing dihanyutkan ombak dan arus laut.
Sejurus kesemua mangsa tiba di SUMS, mereka diberikan rawatan awal oleh pengamal perubatan sebelum dibawa ke Hospital Sungai Buloh, Hospital Shah Alam dan Hospital Klang dengan menaiki lima ambulan.
Maritim Malaysia menasihatkan, agar pemancing yang ingin ke laut perlu melakukan persiapan sewajarnya selain mengambil langkah berwaspada dan merancang lebih awal sebarang aktiviti yang hendak dilakukan.
Selain mengambil ikhtibar daripada kejadian yang berlaku ini, agar tragedi sama tidak berulang lagi.
Komuniti pemancing juga diingatkan, agar segera menghubungi talian kecemasan MERS 999 dan memiliki peranti kecemasan peribadi ‘Personal Locator Beacon’ (PLB) yang memudahkan kedudukan mereka dikesan pasukan penguat kuasa dan CARILAMAT sekiranya berlaku kecemasan.

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker