‘Sara keluarga hasil upah angkat barang berat guna pengandar’

KUALA KRAI: “Kerja ini memang memenatkan kerana perlu mengangkut barang ke dalam bot seberat hingga 70 kilogram sehari menggunakan pengandar dengan upah hanya RM10 hingga RM40, tetapi ini saja cara saya menyara keluarga,” kata Mohd Faizul Ahmad, yang menawarkan perkhidmatan mengangkut barang atau ‘potter’ di jeti Tangga Krai sejak lebih 25 tahun lalu.

Tugasan Mohd Faizul, 45, bermula seawal jam 8 pagi hingga 5 petang setiap hari dengan menunggu di sekitar jeti Tangga Krai bagi mereka yang memerlukan khidmatnya mengangkut barang dari tebing sehingga ke dalam bot.

Katanya, dia perlu mengangkut banyak barang sekali gus seperti beras, telur, susu dan barangan lain yang beratnya 30 hingga 70 kilogram menggunakan pengandar dari atas tebing sungai setinggi 50 meter ke dalam bot.

“Memang penat sebab saya perlu naik ikut tangga yang ada kalanya lebih 40 kali sehari bagi mengangkut barang dengan upah diperoleh antara RM10 hingga RM40.

“Sepanjang menuruni tebing untuk memikul barang menggunakan pengandar, saya perlu berhati-hati terutama jika selepas hujan kerana laluan licin, selain bimbang barang dipikul terjatuh dan rosak,” katanya ketika ditemui di jeti Tangga Krai, di sini.

Bapa enam anak berusia antara empat hingga 17 tahun ini berkata, mungkin golongan sepertinya sudah lupus di beberapa daerah di Kelantan, namun di Kuala Krai, khidmat itu masih diperlukan khususnya yang menetap di sekitar jeti Sungai Kelantan.

“Kerja seperti saya ini memerlukan kombinasi kekuatan fizikal dan semangat tinggi untuk mengangkut barang dan mungkin ramai generasi muda tidak berminat kerana kerja ini memenatkan, selain upah diperoleh juga terlalu murah.

“Bagaimanapun, saya tidak kisah kerana kerja dilakukan sekarang ini menjadi ‘periuk nasi’ saya sejak 25 tahun lalu untuk menyara keluarga dan pada masa sama, anak sulung, Muhamad Faiz Aiman, 17, turut membantu.

“Sebelum ini saya pernah memikul bebanan seberat 100 kilogram getah sekerap yang berbau busuk dari tongkang kecil ke atas tebing dengan upah hanyalah RM7 saja,” katanya.

Mohd Faizul berkata, dia adalah generasi ketiga terbabit dalam bidang mengangkut barang di jeti Tangga Krai dan mahu terus memperjuangkan kerja tradisi itu.

“Sekitar tahun 1980-an, terdapat ramai pengangkut barang yang beroperasi di sepanjang Sungai Kelantan terutama di Tangga Krai, namun kini tinggal dua hingga tiga orang saja melakukan kerja itu,” katanya.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker