Jalur Gemilang roti jala 65m di Gua Musang

GUA MUSANG: Seramai 72 warga Tabika Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) mengambil masa dua hari untuk menyiapkan Jalur Gemilang menggunakan 16,128 biji roti jala, bermula petang semalam.

Proses menyiapkan roti jala Jalur Gemilang sepanjang 65 meter (m) disambung hari ini oleh guru dan murid Tabika berkenaan sambil dibantu ibu bapa.

Guru Tabika KEMAS Bertam Baru, Siti Arfah Inche Jaafar, berkata dia bersama murid dan ibu bapa mereka bekerjasama menyiapkan roti jala Jalur Gemilang itu sejak petang semalam dan disambung kembali jam 7.30 pagi tadi.

“Aktiviti ini turut membabitkan ibu bapa dan murid yang membantu menyediakan bahan mentah serta membuat roti jala termasuk menggulung. Alhamdulillah sokongan dan sambutan yang diberi ibu bapa dan guru sangat memberangsangkan.

“Bagi program ini, setiap tabika diberi tanggungjawab menyiapkan 224 biji roti jala yang kemudian disusun di sini sehingga sepanjang 65 meter,” katanya ketika ditemui pada program Sambutan Bulan Kebangsaan KEMAS peringkat negeri di Taman Agropolitan Rantau Manis, di sini.

Turut diadakan pada program itu perarakan 65 motosikal dan kereta berhias serta 20 basikal elektrik, selain persembahan murid Tabika KEMAS.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) KEMAS, Ahmad Kamal Idris Mohd Nawawi, berkata program Sambutan Bulan Kebangsaan KEMAS seiring dengan aktiviti pembelajaran sepanjang bulan kemerdekaan di tabika agensi berkenaan.

“Sambutan dan sokongan pada program ini sangat menggalakkan termasuk daripada penduduk setempat. Buktinya, mereka mampu menyiapkan Jalur Gemilang menggunakan roti jala sepanjang 65 meter.

“Sepanjang bulan ini sehingga 16 September, setiap Tabika KEMAS perlu mengadakan aktiviti berkaitan dengan kemerdekaan. Usaha ini dapat mewujudkan generasi yang mempunyai semangat patriotik dan cintakan negara,” katanya.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker