Musk pertahan diri ambil dadah

Oleh – Syeikh Baran


Musk pertahan diri ambil dadah
Elon Musk

Elon Musk menganggap penggunaan dadah oleh dirinya sendiri memberi manfaat kepada pelabur Tesla dalam satu temu bual disiarkan pada Isnin.

Malah, taikun berusia 52 tahun itu mengesahkan dia mengambil ubat bius itu – biasanya digunakan untuk pengurusan kesakitan dan merawat kemurungan berikutan laporan media Amerika Syarikat (AS) bahawa penggunaan dadah olehnya telah menakutkan pelabur.



“Ketamin membantu untuk mengeluarkan satu daripada kerangka fikiran negatif,” kata Musk kepada bekas hos CNN, Don Lemon dalam temu bual yang diterbitkan di media sosial pada Isnin.

Musk yang mengendalikan SpaceX dan Tesla serta memiliki platform media sosial X, menafikan menyalahgunakan ketamin dan berkata, dia menggunakan ‘sebilangan kecil sekali setiap minggu atau sesuatu seperti itu’.

Musk memberitahu, dia tidak mengalami ‘kemurungan berlanjutan’, sebaliknya menggunakan ketamin apabila mempunyai ‘keadaan kimia negatif’.

Semasa temu bual selama sejam itu, Musk turut membincangkan pertemuan dengan calon Presiden AS daripada Parti Republikan, Donald Trump, namun tidak menunjukkan siapa yang mungkin dia sokong pada pilihan raya November depan.



Musk berkata, dia ‘beralih’ daripada calon Demokrat iaitu Presiden Joe Biden, namun ia tidak bermakna dia akan menyokong Trump, sambil menambah: ”Banyak yang boleh berlaku antara sekarang dan pilihan raya.”

Jumaat lalu, Musk menyiarkan di X bahawa rakyat Amerika harus memilih Republikan pada November dengan ‘gelombang merah’ atau ‘Amerika sudah ditakdirkan’.

“Bayangkan empat tahun lagi keadaan ini semakin teruk,” tulisnya, merujuk kepada salah satu perkara utama Trump iaitu dakwaan bahawa AS sedang ditenggelami oleh penghijrahan haram. – AFP

Sumber – SINAR HARIAN



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button