Kawalan pintu masuk Penjara Kajang diperketat



KAJANG: Polis meningkatkan kawalan keselamatan dan pemantauan di sekitar pintu masuk Penjara Kajang, lokasi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dihantar pada 6.47 petang tadi untuk menjalani hukuman.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan, berkata setakat ini, keadaan di sekitar penjara berkenaan terkawal.

“Keadaan masih terkawal. Berapa ramai kekuatan, saya tidak boleh dedahkan. Bagaimanapun, pihak polis hanya meningkatkan kawalan keselamatan di bahagian luar pintu masuk Penjara Kajang.

“Selain itu, kawalan keselamatan dilaksanakan oleh pihak penjara itu sendiri,” katanya kepada BERNAMA, malam ini.



Terdahulu, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta ke atas Najib kerana menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, berkata selepas meneliti bukti, hujahan dan rekod rayuan, adalah didapati petisyen rayuan Najib tidak mempunyai merit.

Tengku Maimun yang mengetuai barisan lima panel hakim menolak permohonan rayuan Najib bagi mengetepikan sabitan dan hukuman oleh Mahkamah Tinggi yang diputuskan pada 28 Julai 2020.

Turut bersidang Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim; serta Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan iaitu Datuk Nallini Pathmanathan, Datuk Mary Lim Thiam Suan dan Datuk Mohamad Zabidin Mohd.



Pada 28 Julai 2020, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali, yang kini Hakim Mahkamah Rayuan, menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun ke atas Najib bagi setiap tiga pertuduhan pecah amanah jenayah serta tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan penjara 12 tahun serta denda RM210 juta (jika gagal bayar, penjara lima tahun) bagi pertuduhan menyalahgunakan kedudukan.

BERNAMA



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker