Kerajaan digesa ganda usaha kesan, tahan Jho Low

KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa menggandakan usaha mengesan dan menahan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low, keluarga serta sekutunya yang terbabit dalam skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Gesaan itu disuarakan Pengerusi DAP, Lim Guan Eng, susulan keputusan Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman ke atas bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak semalam.

“Arkitek kewangan Najib, Jho Low masih bebas. DAP menggesa kerajaan Malaysia melipat gandakan usaha menahan Jho Low, keluarga dan sekutunya yang dikaitkan dengan skandal 1MDB bernilai RM52 bilion bagi memberi keadilan kepada 32 juta rakyat negara ini.

“Ketika Najib berdepan hari-harinya di mahkamah, adalah tidak adildan ibarat mempersendakan keadilan bahawa Jho Low, keluarga dan sekutunya yang dikaitkan dengan skandal terbabit, dibenarkan bebas berkeliaran begitu sahaja,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mahkamah Persekutuan semalam mengekalkan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta yang dikenakan ke atas Datuk Seri Najib yang didapati bersalah menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Panel lima hakim dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara membuat keputusan itu selepas mendapati pembelaan Najib sememangnya tidak konsisten dan gagal menimbulkan keraguan munasabah.

Mengulas lanjut, Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata, kerajaan seharusnya mengemukakan laporan perkembangan berhubung status usaha bagi menahan penjenayah paling dikehendaki di Malaysia.

Dalam pada itu, beliau berkata, rakyat Malaysia memuji sembilan hakim dari Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan di atas penghakiman mereka terhadap Najib.

Katanya, pasukan pendakwaan juga perlu dipuji kerana berjaya menangani kes yang sukar itu dengan penuh kepakaran dan profesionalisme.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker