Noraini saksi kolaborasi USask dengan UMT
Dari kiri, Prof. Airini Provos, Gordon S. Wyant, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad dan Prof. Datuk Dr. Mazlan Abd Ghaffar bergambar pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di USask, Kanada, di sini hari ini.
Oleh Azrin Muhammad.
KUALA LUMPUR – Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad sempat singgah di Universiti Saskatchewan (USask), Kanada bagi menjadi saksi dalam upacara menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Universiti Malaysia Terengganu (UMT).
Menurutnya, MoU berkenaan dibuat bagi mempromosikan makanan rumusan kegunaan haiwan akuatik berasaskan sumber protein alternatif Black Soldier Fly (BSF).
“Usaha sama ini sejajar dengan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob baru-baru ini yang mahu Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan Negara disemarakkan.
“Upacara ini membolehkan kedua-dua buah universiti berganding bahu dalam usaha pengkomersialan produk tersebut di pasaran Kanada,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Turut hadir, Menteri Pendidikan Lanjutan Saskatchewan, Gordon S. Wyant, Naib Presiden Akademik USask, Prof. Airini Provos, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan) KPT, Dr. Mohd Zabri Yusoff dan Naib Canselor UMT, Prof. Datuk Dr. Mazlan Abd Ghaffar.
Terdahulu, Noraini yang juga alma mater USask sedang dalam rangka lawatan kerja ke Kanada untuk menghadiri Persidangan Parlimen Negara-Negara Komanwel (CPC) 2022 bermula 21 hingga 26 Ogos ini.
Tambahnya, UMT juga turut mensasarkan BSF sebagai makanan alternatif kepada haiwan ternakan lain seperti ayam, itik, kambing, arnab dan lembu kerana kajian pakar mendapati makanan rumusan berkenaan mempunyai khasiat seperti protein, kitin serta lipid yang tinggi dan berkualiti.
Dalam masa sama, Noraini juga menjelaskan kolaborasi tersebut mempunyai potensi meningkatkan lagi reputasi Pusat Kecemerlangan Pengajian Tinggi, Institut Akuakultur Tropika dan Perikanan UMT (HICoE-AKUATROP) di mata dunia.