Polis sahkan terima laporan kebocoran ‘dokumen’ keputusan kes Najib



KUALA LUMPUR: Polis mengesahkan menerima laporan mengenai dokumen tular yang didakwa kertas keputusan kehakiman berkaitan kes rayuan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim, berkata perkara itu masih dalam siasatan pihaknya.

“Ya, ada laporan diterima dan dalam siasatan kita. Orang ramai dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi atau membuat hebahan berita-berita yang tidak benar atau membuat apa-apa perkara yang melanggar undang-undang,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Semalam, Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia mengesahkan draf penghakiman bertulis yang bertajuk Najib Razak’s SRC Appeal: The Judgement didapati bocor.



Bagaimanapun, Pejabat Ketua Pendaftar menegaskan ia adalah draf kerja penghakiman yang belum dimuktamadkan lagi, selain dokumen berkenaan diubah suai.

Mahkamah Persekutuan semalam mengekalkan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta yang dikenakan ke atas Najib yang didapati bersalah menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd (SRC).

Panel lima hakim dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara membuat keputusan itu selepas mendapati pembelaan Najib sememangnya tidak konsisten dan gagal menimbulkan keraguan munasabah.

Susulan keputusan itu, bekas Perdana Menteri berkenaan, diperintahkan untuk menjalani hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.



BHOnline



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker