Real tak sabar nanti undian di Istanbul

ISTANBUL: Penyandang gelaran, Real Madrid dan keseluruhan kelab elit Eropah boleh mula merancang laluan mereka bagi mencipta kejayaan dalam Liga Juara-Juara apabila undian untuk peringkat kumpulan musim ini akan dilakukan di Istanbul, esok.

Sekiranya semua mengikut peerancangan, perjalanan itu akan kembali ke Turkiye pada 10 Jun tahun depan untuk aksi final di Stadium Olimpik Ataturk, lokasi sama ketika Liverpool menewaskan AC Milan menerusi penalti pada 2005.

Istanbul sepatutnya menjadi tuan rumah aksi final pada 2020 dan sekali lagi pada 2021, namun UEFA mengubah lokasi ke Portugal berikutan sekatan akibat pandemik.

Satu lagi perubahan saat akhir dibuat musim lalu dengan Saint-Petersburg digugurkan untuk aksi final selepas Russia menceroboh Ukraine dan Paris mengambil tempat yang menyaksikan Madrid menang 1-0 mengatasi Liverpool.

Gergasi Sepanyol itu kini dimahkotakan selaku raja Eropah buat kali ke-14, sekali ganda melebihi pasukan kedua terbanyak, AC Milan dan mereka memulakan musim ini dengan menewaskan juara Liga Europa, Eintracht Frankfurt di Helsinki untuk gelaran Piala Super UEFA.

“Kegembiraan dan kepuasan anda dapat selepas kemenangan itu sentiasa dirasakan, membuatkan anda rasa tiada siapa boleh mengambil tempat anda. Dan itu menjadi motivasi kuat untuk terus menang,” kata jurulatih Carlo Ancelotti kepada UEFA.com.

Untuk undian esok, Real berada dalam Pot Satu bersama pasukan juara liga lain seperti Manchester City, Bayern Munich, Milan, Paris Saint-Germain, Porto dan Ajax, selain juara Liga Europa, Frankfurt.

Liverpool akan berada dalam Pot Dua, bermakna ada kemungkinan mereka akan kembali berdepan Real.

Chelsea, juara pada 2021 dan Tottenham Hotspur turut mewakili England dalam kejohanan itu.

Sementara itu Celtic, akan diletakkan dalam Pot Empat ketika pasukan berkenaan kembali ke Liga Juara-Juara pertama kali sejak 2017.  AFP

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker