Aaron Chia-Soh Wooi Yik tewas, Malaysia tiada wakil

 

Oleh Pena Merah

Aaron Chia-Soh Wooi Yik tewas, Malaysia tiada wakil
KUALA LUMPUR 12 JANUARI 2024 – Aksi pemain beregu lelaki Malaysia, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik sewaktu menentang pemain Korea Selatan, Kang Min Hyuk dan Seo Seung Jae pada perlawanan Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2024 di Axiata Arena Bukit Jalil di sini, hari ini. GAMBAR: UTUSAN

Kekalahan menimpa beregu lelaki No. 1 negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik ditangan juara dunia, Kang Min Hyuk-Seo Seung Jae dari Korea Selatan menyaksikan tiada seorang pun wakil Malaysia yang berjaya menjejakkan kaki ke separuh akhir Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia di Axiata Arena, dekat sini, esok.

Pasangan No. 4 dunia itu terpaksa akur dengan ketangkasan Min Hyuk-Seung Jae yang menghuni ranking No. 3 dunia menerusi kekalahan rubber set 21-16, 18-21, 13-21 dalam aksi yang berlangsung lebih sejam.

Seperti mana dengan rakan senegara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi, skrip yang sama diulang Aaron-Wooi Yik pada Terbuka Malaysia apabila mereka teringkir di suku akhir buat kali kedua berturut-turut.

Aaron ketika ditemui pemberita berkata, dia dan Wooi Yik bermula baik pada set pertama, tetapi, gara-gara terlalu teruja mereka melakukan kesilapan dalam set kedua.

“Mungkin hati hendak menang sangat, sehingga menyebabkan fokus kami lari sikit, kami bermain di Malaysia, jadi, jangkaan itu memang tinggi, semua orang letak harapan, ini bukan keputusan yang kami mahukan,” katanya di sini, hari ini.

Enggan meletakkan sebarang ‘rating’ pada persembahan mereka sepanjang Terbuka Malaysia, Aaron memberitahu, kejohanan itu merupakan pertandingan pertama pada Jelajah Dunia tahun ini, jadi, tiada markah harus diberi kepada dirinya sendiri.

Jelasnya, apa yang paling utama ialah Sukan Olimpik, jadi, fokus dalam setiap pertandingan yang disertai ialah untuk layak ke temasya empat tahun sekali itu.

Ketika ditanya pula sama ada mereka akan menyertai Kejohanan Badminton Berpasukan Asia yang diadakan di Setia Alam, Selangor, Februari depan, Aaron berkata, dia tidak tahu sama ada mereka akan beraksi ataupun tidak dan menyerahkan keputusan kepada pihak yang bertanggungjawab.

Sementara itu, Wooi Yik pula berpendapat, fokus amat penting ketika berada dalam gelanggang dan faktor tersebut juga menjadi punca kepada kekalahan mereka.

“Lawan merupakan pencabar yang memiliki keyakinan tinggi terhadap permainan mereka, kita kena belajar mengawal tekanan yang diterima,” katanya yang akan terbang ke India bersama Aaron bagi menyertai Terbuka India, minggu depan.

SUMBER – UTUSAN

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker