Kastam rampas rokok, arak, daging RM38.6 juta

PELABUHAN KLANG: Jabatan Kastam Diraja Malaysia Zon Tengah, Unit II (Selangor) merampas rokok putih, minuman keras, daging haiwan sejuk beku yang diseludup bernilai RM38.58 juta termasuk duti serta cukai menerusi beberapa siri serbuan baru-baru ini.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah, Mohammad Sabri Saad berkata, kejayaan melumpuhkan aktiviti penyeludupan itu membabitkan beberapa lokasi sekitar Pelabuhan Klang, Selangor dan Seremban, Negeri Sembilan.

“Kejayaan rampasan membabitkan rokok putih, minuman keras serta daging haiwan sejuk beku di mana keseluruhan rampasan membabitkan anggaran nilai RM5,002,565.60 serta duti dan cukai sebanyak RM33,587,357.90,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, bagi kes rokok putih, Kastam Unit II, Zon Tengah menyerbu dua lokasi iaitu di Pelabuhan Klang dan Taman Ideal Township, Seremban.



“Kes pertama pada 14 Julai dan 28 Julai membabitkan empat kontena di Pelabuhan Barat, Pelabuhan Klang yang dikesan melalui mesin pengimbas.

“Hasil pemeriksaan mendapati kontena itu bermuatan rokok putih yang disyaki tidak mempunyai lesen import sah semasa dagangan diimport.

“Kes kedua pada 8 Ogos, berdasarkan maklumat awam, pasukan menahan sebuah lori jenis rigid yang diparkir kerana disyaki memuatkan barang larangan.

“Pemeriksaan fizikal ke atas lori mendapati, sejumlah rokok putih disyaki barang larangan. Lori dan muatan dibawa balik ke Pejabat Kastam Pelabuhan Utara untuk siasatan lanjut,” katanya.



Beliau berkata, rokok putih yang dirampas adalah barang larangan di bawah Butiran 1, Jadual Ketiga, Bahagian II, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2017.

“Kuantiti rampasan sebanyak 42,060,000 batang rokok bernilai RM3,364,800 dan jumlah duti/cukai sebanyak

RM28,733,520,” katanya.

Sementara itu katanya, kuantiti minuman keras yang dirampas sebanyak 113,698.92 liter dengan nilai RM941,265.60 dan jumlah duti/cukai sebanyak RM4,853,837.90.

“Minuman keras yang ditahan adalah barang larangan di bawah Butiran 3, Bahagian 1, Jadual Ketiga, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2017,” katanya.

Bagi kes daging sejuk beku pula katanya, Kastam melakukan pemeriksaan ke atas sebuah treler 40 kaki yang ditinggalkan di tepi jalan Lengkungan Raja Lumut, Kawasan Perindustrian PKNS Pandamaran, Pelabuhan Klang.

Hasil pemeriksaan fizikal mendapati, lori terbabit bermuatan paru-paru lembu sejuk beku dan tanpa dokumen import sah.

“Lori dengan muatan organ haiwan sejuk beku itu disita untuk siasatan lanjut, dagangan yang dirampas dianggarkan sebanyak 27,860 kilogram dan bernilai RM696,500.

“Rampasan adalah barang larangan di bawah Butiran 3, Jadual Ketiga, Bahagian 1, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2017,” katanya.

Mohammad Sabri berkata, kes sedang disiasat mengikut Akta Kastam 1967 di bawah Seksyen 135 Akta Kastam 1967.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker