Charles Leclerc enggan menyerah kalah GP Belgium

Spa-Francorchamps, Belgium: Charles Leclerc menegaskan, dia yakin mampu menewaskan Max Verstappen dan memenangi gelaran juara dunia untuk Ferrari, bermula dengan keputusan sempurna di perlumbaan Grand Prix (GP) Belgium, hujung minggu ini.

Walaupun ketinggalan 80 mata dalam kedudukan kejuaraan dengan baki sembilan perlumbaan, pemandu berusia 24 tahun dari Monegasque itu kekal yakin dan mengisytiharkan kepercayaan kepada pasukan Ferrari.

“Sudah tentu, saya masih percaya mengenai kedudukan kejuaraan,” katanya kepada media di litar Spa-Francorchamps.

“Ia akan menjadi cabaran cukup sukar, tetapi saya masih percaya sehinggalah ia berakhir.

“Saya fikir kami perlu mengambilnya satu persatu sebagai pasukan, setiap perlumbaan, tetapi sudah pasti kami akan cuba serta memaksimumkan peluang yang menanti.”

Selepas menikmati rehat tiga minggu sebaik GP Hungary, Leclerc kelihatan tenang dan dalam keadaan positif serta fokus kepada peluangnya di masa depan, berbanding mengimbau kegagalan pada separuh pertama musim ini.

“Separuh pertama musim ini penuh dengan emosi turun dan naik serta perkara yang menyebabkan kami agak letih,” katanya.

“Jadi, saya gembira dapat pergi bercuti.”

Dia mengakui selepas mendahului 46 mata hasil daripada tiga perlumbaan awal, dia bersama Ferrari hilang cengkaman dan membenarkan Red Bull memanfaatkan kesilapan mereka untuk menguasai persaingan.

Kombinasi kegagalan mekanikal, taktikal, strategi serta kesilapan individu menyebabkan Leclerc hanya mampu menang tiga kali walaupun tujuh kali bermula di petak depan sedangkan Verstappen menang lapan kali walaupun hanya tiga kali bermula di petak depan.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker