Dagangan ringgit dibuka lemah

KUALA LUMPUR: Ringgit menyusut nilai berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada sesi awal urus niaga pagi ini kerana kekurangan pemangkin, kata seorang peniaga.

Pada jam 9.22 pagi, mata wang tempatan berada pada paras 4.4730/4760 berbanding dolar AS pada penutupan Khamis iaitu 4.4700/4730.

Peniaga ActivTrades, Dyogenes Rodrigues Diniz, berkata selepas pergerakan secara menaik yang panjang bermula sejak Mac, dolar AS dijangka boleh kembali lemah menjelang ucapan oleh pengerusi Rizab Persekutuan (Fed) AS, Jerome Powell di Jackson Hole lewat hari ini.

Beliau berkata, pasaran agak bimbang menantikan ulasan daripada Powell kerana terdapatnya beberapa perselisihan pendapat dalam kalangan pengarah Fed mengenai saiz kenaikan kadar faedah seterusnya, yang akan diumumkan pada mesyuarat akan datang pada bulan September.

“Bergantung pada mesej yang disampaikan Powell, dolar AS/ringgit boleh jatuh serendah 4.4230 dan 4.3600 dalam masa beberapa minggu,” kata Diniz dalam nota hari ini.

Sementara itu, ringgit diniagakan lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Mata wang tempatan menambah nilai berbanding euro kepada 4.4582/4612 daripada penutup Khamis pada 4.4673/4703 dan agak tinggi berbanding dolar Singapura pada 3.2171/2197 daripada 3.2174/2201 sebelumnya.

Ringgit turut meningkat berbanding pound Britain kepada 5.2862/2897 daripada 5.2902/2938 semalam dan meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.2736/2760 daripada 3.2750/2774 pada Khamis.

BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker