‘Isteri atau isteri-isteri saya tiada bernama Zainab Mohd Salleh’ – Dr Abd Latiff

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr Abd Latiff Ahmad, hari ini sekali lagi menafikan wanita yang dikaitkan dalam siasatan projek kapal tempur pesisir (LCS), Zainab Mohd Salleh adalah isterinya.

Menerusi hantaran terbaharu di media sosial beliau, Dr Abd Latiff jelas menempelak tuduhan berterusan Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli terhadapnya.

“Salam Jumaat yang penuh barakah penghulu segala hari. Semoga apa saja yang kita lakukan hari ini membawa kebaikan buat semua dan beroleh keberkatan dari yang maha esa.

“Isteri atau Isteri-isteri saya tiada yang bernama Zainab binti Mohd Salleh.



“Tiada ahli keluarga saya yang terbabit dalam bisnes (perniagaan) membabitkan pembekalan atau pembinaan kapal LCS.

“Sebagai wakil rakyat dari kawasan laut dan pulau (Mersing)…saya suka makan ikan…tapi bukan ikan jerung,” tulisnya di Facebook.

Hantaran beliau turut dilengkapkan dengan serangkap pantun yang berbaur sindiran dipercayai terhadap dakwaan Rafizi.

Siakap senohong gelama ikan duri,



Cakap bohong lama lama jadi pencuri,

Siakap senohong gelama ikan jerung,

Cakap pembohong tak lama mati jadi jerangkung.

Pada Isnin lalu, Dr Abd Latiff menafikan wanita yang dikaitkan dalam siasatan projek LCS adalah isterinya malah bersedia memberikan kerjasama penuh dengan siasatan pihak berkuasa terhadap isu itu.

Kenyataan beliau itu susulan kenyataan Rafizi mendakwa syarikat palsu yang menjadi syarikat pembekal alat ganti kepada projek pembinaan LCS adalah milik keluarga bekas Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Dr Abd Latiff Ahmad.

Rafizi mendakwa, siasatan dalaman skandal LCS dan semakan susulan dilakukannya mendapati syarikat pembekal itu dimiliki isteri Dr Abd Latiff.

Beliau juga mendakwa siasatan dalam LCS juga mengesahkan dua syarikat palsu menggunakan nama Alizes Marine sudah didaftarkan dengan nama Alizes Marine Limited berdaftar di Malta dan sebuah lagi syarikat, Alizes Marine Labuan didaftarkan di Labuan.

Abd Latif meninggalkan UMNO selepas Pilihan Raya Umum 2018 dan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker