Azwan tak mahu gandingan ‘overshadow’

 

Berpengalaman lebih tiga dekad dalam dunia pengacaraan, Azwan Ali berkongsi insiden berdepan gandingan penyampai yang cenderung ‘overshadow’ atau bertindak lebih dominan hingga membayangi pasangan ketika beraksi.

Enggan mendedahkan identiti individu terbabit, Azwan atau lebih dikenali sebagai Diva AA sebaliknya menasihatkan pengacara lain agar faham amanah dan tanggungjawab yang perlu dipikul.

“Kita sebagai hos, walaupun digabungkan mana-mana stesen televisyen (TV), fahamlah kita ada amanah terhadap penyiar terbabit dan berjuta-juta orang yang menonton program itu.

“Jadi, jangan perasan orang hendak tengok awak seorang sahaja. Pada masa sama, orang mahu tengok saya juga.



“Secara jujur, saya terkejut memikirkan dia begitu orangnya. Apabila berbincang, dia juga tidak mahu melayan. Walaupun kita hebat dan lawak, kita kena ada perbincangan.

“Jangan cakap seperti awak pandai dan orang hanya hendak tengok awak… Ini sangat berbahaya. Namun, Alhamdulillah, program yang kendalikan boleh dianggap berjaya,” katanya kepada BH Online.

Azwan berkata, seboleh-bolehnya dia tidak mahu digandingkan dengan pengacara terbabit dan berharap hos muda yang diberi amanah, boleh tampil profesional seperti dirinya.



“Saya sudah serik… Tidak akan buat lagi ‘job’ pengacaraan dengan dia. Bagaimanapun, saya percaya gandingan saya dengan Issey dalam program Mic On, insya-Allah okay,” katanya ditemui pada majlis pelancaran musim kedua program realiti nyanyian, Mic On! di sini, baru-baru ini.

Rancangan terbabit menampilkan Azwan sebagai pengacara bersama Issey Fazlisham.

Mengulas mengenai tanggungjawab sebagai hos program realiti terbitan Awesome TV itu, Azwan berkata, dia akan menjaga tingkah laku dan memberi aksi terbaik.

Tambah Azwan, dia juga seronok bekerjasama sekali lagi dengan Mas Idayu yang juga kawan baiknya.

“Saya bukan menidakkan kredibiliti artis lain. Namun, sebagai pemerhati Mas Idayu adalah ‘nyawa’ program sekarang. Orang sukakan dia. Mungkin dia tidak palsu dan berterus-terang.

“Saya fikir Mas Idayu ada ‘sesuatu’. Di Malaysia ini ada beberapa artis sahaja seperti Mas Idayu dan Micheal Ang. Memang depan orang, kami suka bergaduh, tetapi, hakikatnya, kami baik-baik sahaja dan tidak simpan dalam hati,” katanya.

Musim kedua program Mic On! akan disiarkan Awesome TV mulai 28 Januari ini, jam 9 malam.

Juri mewakili Datuk Awie, Datuk Hattan dan Mas Idayu. Selain itu, tiga pelawak terkenal iaitu Ropie, Fad Bocey dan Ajak Shiro bertindak sebagai pengurus yang akan membantu 15 peserta membuat persembahan.

BHOnline



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker