Lelaki misteri buat kecoh di mahkamah dipercayai ada masalah mental

KUALA LUMPUR: Polis sedang menjalankan siasatan berhubung tindakan seorang ‘lelaki misteri’ yang menimbulkan kekecohan di perkarangan pintu masuk utama Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, tengah hari tadi.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai, berkata polis membuka kertas siasatan berkait kes itu selepas menerima satu laporan pada jam 4.38 petang tadi.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati lelaki terbabit adalah seorang guru yang dipercayai mempunyai masalah mental.

“Kejadian dilaporkan sekitar jam 12.10 tengah hari dan siasatan mendapati lelaki itu hadir ke mahkamah untuk mengikuti prosiding perbicaraan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di aras empat bangunan terbabit.

“Bagaimanapun, anggota polis bertugas tidak membenarkan lelaki terbabit masuk ke kamar mahkamah kerana tidak mempunyai kaitan dengan kes terbabit sebelum diarahkan beredar dengan cara baik.

“Namun apabila sampai di perkarangan pintu masuk mahkamah, lelaki itu bertindak membuat ucapan dengan suara yang lantang dan kuat ke arah media yang sedang membuat liputan perbicaraan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) membabitkan Datuk Seri Najib Razak,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Eng Lai berkata, lelaki itu kemudian diarahkan oleh pihak polis untuk beredar supaya tidak mengganggu ketenteraman awam.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 290 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan mudarat awam dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil kerana memberi ucapan dengan niat mengganggu keamanan.

“Kita minta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan insiden ini untuk menyalurkan maklumat dengan menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul di talian 03-40482206,” katanya.

Terdahulu, tular beberapa rakaman video memaparkan tindakan lelaki itu membuat ‘hujahan’ dan ‘ucapan’ dengan nada lantang berkaitan Najib di hadapan petugas media yang membuat liputan prosiding perbicaraan berkenaan.

Lelaki terbabit sempat ‘berucap’ kira-kira lima minit sebelum diarahkan oleh pihak polis untuk beredar keluar dari kawasan kompleks mahkamah dengan diiringi dua anggota polis.

Seorang penyokong Najib, Datuk Seri Said Nazar Abu Bakar menafikan lelaki berkenaan adalah penyokong Perdana Menteri ke-6 itu.

Najib hadir di Mahkamah Tinggi di sini, pagi tadi bagi perbicaraan kes penyelewengan dana 1MDB berjumlah RM2.28 bilion.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker