Pemuda UMNO kekal fokus aspirasi anak muda

Pemuda UMNO kekal fokus aspirasi anak muda
(Dari kiri) Exco Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin, Ketua Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Mohamed Nizham Abdullah Hamidi dan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bandar Tun Razak, Ashrul Ashryzad Mohd Nashri.

 

Oleh Azrin Muhammad

KUALA LUMPUR – Setelah 73 tahun tertubuhnya sayap Pemuda UMNO pada 26 Ogos 1949 di Butterworth, kini aspirasi anak muda terus menjadi keutamaan dalam parti selaras dengan perjuangan pemimpin terdahulu.

Exco Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin berkata, pihaknya tidak pernah terlepas dengan mengutamakan agenda generasi muda, khususnya dalam menghadapi cabaran baharu menjelang pilihan raya akan datang.

“Setakat ini, saya diberitahu 70 peratus calon baharu akan dipertandingkan dalam pilihan raya akan datang, potensi untuk menang adalah tinggi kerana BN merupakan parti yang dipercayai menerusi pengalamannya.

“Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) bakal melibatkan pengundi-pengundi baharu, Pemuda UMNO akan memainkan peranan agar mereka membuat pilihan yang tepat,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Dia yang juga Ketua Pemuda UMNO Lembah Pantai memberitahu, pengundi kali pertama tidak boleh dipandang ringan kerana golongan ini lebih cenderung memahami politik berdasarkan kata-kata ibu bapa.

Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Mohamed Nizham Abdullah Hamidi berkata, UMNO adalah sebuah gagasan yang sudah berpengalaman dan setiap ahlinya sentiasa bersiap siaga untuk menghadapi cabaran mendatang.

“Dalam konteks cabaran dalam bandar, saya mengakui geopolitik di sini lebih dinamik yang memerlukan setiap ahli parti menggunakan pendekatan mesra rakyat untuk mendekati masyarakat termasuk berintegriti.

“Pemuda UMNO juga perlu terus maju, tidak perlu bernostalgia tentang masa lalu kerana ia dikhuatiri membantutkan usaha parti mendepani masalah yang dijangka lebih dahsyat pada masa hadapan,” katanya.

Ujarnya, pengundi baharu juga disaran untuk mengambil tahu keadaan politik terkini agar tidak tertipu dengan sentimen yang dimainkan pihak tidak bertanggungjawab dan membuat keputusan tanpa mengikut emosi.

Dalam masa sama, Ketua Pemuda UMNO Bandar Tun Razak, Ashrul Ashryzad Mohd Nashri berkata, barisan Pemuda perlu terus menjadi benteng utama di dalam perjuangan UMNO dan menjadi teras kebangkitan parti keramat UMNO di dalam melahirkan pelapis kepimpinan masa depan.

“Sempena ulang tahun yang ke-73, saya mendoakan agar Allah SWT memberkati perjuangan Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia demi agama, bangsa dan negara,” katanya.



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button