Tiga mata jadi sasaran bertemu Bangladesh

KUALA LUMPUR: Skuad hoki lelaki kebangsaan tetap turun dengan misi memburu tiga mata apabila bertemu Bangladesh dalam aksi terakhir Kumpulan B saingan Piala Asia 2022, esok biarpun sudah melayakkan diri ke saingan Super 4.

Ketua jurulatih negara, Arul Selvaraj, berkata setiap perlawanan yang dihadapi dalam kejohanan yang berlangsung di Jakarta, Indonesia itu adalah peluang buat anak buahnya untuk meningkatkan prestasi.

“Matlamat kita dalam setiap perlawanan yang dihadapi adalah bermain untuk menang. Setiap perlawanan adalah ujian dan peluang untuk kita perbaiki kelemahan.

“Sukan Asia kemungkinan besar akan dilanjutkan ke tahun depan dan semua perlawanan di sini adalah sangat penting untuk pemain menunjukkan kemajuan sebagai satu pasukan,” katanya.

Semalam, skuad negara mengesahkan tiket ke kelompok Super 4 selepas melakar kemenangan kedua berturut-turut dalam aksi Kumpulan B dengan menewaskan Korea Selatan 5-4.

Kemenangan itu membolehkan skuad bimbingan Arul Selvaraj mengumpul enam mata selepas turut menewaskan Oman 7-0 dalam aksi sulung, kelmarin.

Jika menang ke atas Bangladesh esok, anak buah Arul akan muncul juara Kumpulan B.

Malaysia kini hanya menunggu keputusan perlawanan membabitkan India yang bersaing dalam Kumpulan A dan sekiranya pasukan itu turut layak ke kelompok Super 4, ini bermakna tiga pasukan lain secara automatik layak ke Piala Dunia 2023.

India sudah pun layak menerusi tiket selaku tuan rumah kejohanan berprestij itu.

Mengulas mengenai pertemuan dengan Korea, Arul memuji semangat juang tinggi dipamerkan barisan pemainnya yang bermati-matian mempertahankan gawang pasukan daripada dibolosi lawan yang memburu gol penyamaan pada minit akhir permainan.

“Ini adalah kemenangan yang positif tetapi masih ada yang perlu diperbaiki untuk kita mencapai matlamat yang seterusnya. Pada minit-minit akhir, kita kekurangan dua pemain tetapi pemain bermain mati-matian untuk mempertahankan kawasan mereka.

“Ini adalah sikap yang sangat baik dan pemain menunjukkan semangat juang tinggi,” katanya.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker