SEMPENA HARI WANITA KEBANGSAAN 2022

MARINA AHMAD

 

Rohana Man

MENJADI yang pertama dalam apa sahaja pencapaian pastinya diimpikan setiap wanita, tanpa mengira usia dan latar belakang kehidupan.

Kepuasan menggapai impian itu tentunya juga memberi nikmat yang tidak terhingga kepada individu yang terlibat.



Namun tidak semudah itu kerana laluan yang ditempuh menyajikan liku-liku yang kadang kala sukar dihadam.

Tanpa jiwa yang kental dan ‘hati kering’, tidak mungkin pencapaian terhebat itu dapat diraih. Itulah yang menjadi catatan perjalanan hidup dua wanita hebat dalam bidang sukan dan rekreasi di peringkat kebangsaan dan dunia.

Tahun 2007 menyaksikan seorang wanita yang bertubuh kecil tetapi berjiwa kental dengan semangat membara berjaya menakluk puncak tertinggi dunia, Gunung Everest pada tarikh 21 Mei.

Marina Ahmad yang ketika itu berusia 26 tahun merupakan anak kelahiran Kampung Hampar Kiri, Pendang, Kedah. Beliau mencatatkan rekod baru kebangsaan apabila muncul sebagai wanita pertama negara menjejaki puncak tertinggi dunia, Gunung Everest pada pukul 6.30 pagi (8.45 pagi waktu Malaysia).



Di ketinggian 8,848 meter dari paras laut, Marina dan kumpulannya seramai enam orang bersyukur kerana impian menjadi kenyataan.

Marina dipilih sebagai sebahagian daripada anggota Ekspedisi Projek Malaysia ke Everest sempena sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia Ke-50.

Turut melakar kejayaan yang sama ialah Idris Said, Ahmad Reduan Rozali, Ahmad Fakhri Abu Samah, Muhamad Rafi Kori dan Muhamad Fauzan Hassan.

Ketika itu, Marina menjadi satu-satunya pendaki wanita dalam kumpulan enam orang yang kesemuanya lelaki.

ANITA YUSOF

Beliau ketika itu bertugas sebagai penolong penerbit di RTM dan lebih manis apabila beliau dilamar jejaka yang juga salah seorang anggota ekspedisi anjuran Persatuan Kembara Negara (PKN), Ekspedisi Merdeka de Everest 2007, Muhamad Rafi Kori di puncak dunia.

Pasangan Everest itu mendirikan rumah tangga setahun selepas menggapai puncak Everest dan dikurniakan tiga cahaya mata lelaki.

Ketika ini, mereka menetap di Terengganu dan mempunyai kerjaya dalam bidang masing-masing iaitu Marina sebagai penerbit rancangan di Terengganu FM, manakala Muhamad Rafi aktif dalam aktiviti sukan lasak di negeri berkenaan.

Pencapaian lain yang turut membanggakan wanita Malaysia direkodkan pengembara wanita solo, Anita Yusof yang kini masih dalam misi menamatkan kembara bermotosikal dengan menunggang Yamaha FZ150i mengeliling dunia menerusi projek Global Dream Ride 2 (GDR 2).

Catatan Facebooknya kira-kira 19 jam lalu menunjukkan beliau kini berada di Warsaw, Poland untuk berehat beberapa hari sebelum meneruskan ekspedisi.

Kejayaan wanita kelahiran Batu Pahat, Johor itu turut dicatatkan di dalam Wikipedia sebagai wanita Muslim pertama mengelilingi dunia dengan menunggang motosikal menerusi projek GDR 1.

Carian maklumat di internet kembara pertama Anita bermula pada 2012 iaitu perjalanan beliau hanya sekitar Asia Tenggara sahaja, tetapi kemudian beliau merancang satu pengembaraan yang lebih besar iaitu tunggangan solo Asia Tengah yang dipanggil ‘Stans Ride’ kerana menempuh lima negara yang nama negara terbabit berakhir dengan perkataan ‘stan’ iaitu Kyrgyzstan, Uzbekistan, Tajikistan, Afghanistan dan Kazakhstan.

Tidak puas dengan kejayaan itu, pada 11 September 2015 yang menjadi tarikh keramat buat ibu kepada dua cahaya mata itu apabila beliau meninggalkan rumahnya di Ipoh, Perak untuk memulakan pengembaraan bermotosikal secara solo ke seluruh dunia yang beliau panggil Global Dream Ride (GDR) yang berakhir pada 16 September 2016.

Motosikal Yamaha FZ150i yang digunakan Anita diterbangkan ke Seattle. Beliau mengulas: “Saya nekad untuk teruskan ekspedisi menjelajah seluruh dunia pada tahun 2015 dengan membawa misi GDR dan menjelajah benua Amerika, bermula di Seattle…, seterusnya ke seluruh Amerika Utara, Eropah dan kemudian ke benua Asia.”

Dalam GDR, Anita yang juga duta produk jenama barangan motosikal terkenal dunia, Givi berjaya melalui cabaran di 40 buah negara yang terletak di empat benua termasuk negara berbahaya kerana kadar jenayah dan kes dadah yang tinggi, selain terpencil seperti Mexico, Colombia, Chile dan Mongolia.

Terkini, Anita turut mencipta sejarah apabila melengkapkan perjalanan menunggang dari titik paling barat di daratan sehingga titik paling timur sebaik sahaja tiba di Vladivostok.

Dalam kata lain, jika tiada laut memisahkan Vladivostok di Rusia dan Seattle di Amerika Syarikat, beliau tentunya telah melengkapkan perjalanan sekeliling dunia.

Lebih dikenali sebagai Cikgu Anita, beliau menjadi kebanggaan Alumni Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Setakat hari ini, beliau telah menerima pelbagai anugerah dan pengiktirafan termasuk memegang dua rekod Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai wanita pertama negara menunggang solo ke lima buah negara di benua Asia pada 2013.

Kejayaan lain yang dilakarnya ialah sebagai penunggang wanita solo dunia yang dicatatkan dalam Asia Book of Records pada 2017.

Dinobatkan sebagai Tokoh Alumni UPSI, Anita juga telah dipilih sebagai Ikon Negaraku.

Malah beliau mengharumkan nama negara apabila diundang untuk berkongsi pengalamannya di Amerika Syarikat dan Dubai.

Lebih indah, Anita turut menerima Anugerah Inspirasi Hari Wanita Sedunia (Moto & Gincu) 2017.

Semua pencapaian beliau amat membanggakan golongan Hawa negara ini kerana tidak mudah menangani cabaran yang mungkin hanya beberapa lelaki sahaja di dunia ini yang sanggup menghadapi cabaran kembara solo bermotosikal mengelilingi dunia.

Diharapkan pencapaian ini memberi inspirasi kepada wanita lain untuk melakar kejayaan yang sama.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker