Dua jam saja berniaga

Kuala Terengganu: Lazimnya sesebuah pasar beroperasi sehingga tengah hari namun uniknya bagi Pasar Kampung Laut (PKL), di sini, peniaga hanya menjalankan perniagaan selama dua jam sehari.

Peniaga, Jusoh Botok, 66, dari Kampung Titian Baru, berkata, dia sudah berniaga di PKL sejak 40 tahun lalu yang mana pada peringkat awal perniagaan, ia beroperasi sebelah petang iaitu pada jam 4.30 hingga 6.30 petang.

Menurutnya, beberapa tahun kemudian peniaga mula beralih berniaga sebelah pagi namun tempoh jualan tidak berubah hanya dua jam saja setiap hari.

“Berniaga di pasar ini seronok kerana ramai pengunjung, jualan juga memuaskan terutama pada hari Khamis dan Sabtu.

“Pelbagai keperluan boleh diperoleh di pasar ini kerana ia juga seperti pasar-pasar lain yang menjual pelbagai keperluan namun waktu saja yang membezakan PKL dan pasar lain di daerah ini,” katanya.

Menurutnya, biasanya peniaga akan memulakan perniagaan antara jam 7 atau 7.30 pagi dan pada jam 9.30 pagi mereka sudah menutup perniagaan.

Katanya, ada juga yang berniaga hingga jam 10 pagi namun selepas waktu itu, pasar sunyi kerana semua peniaga pulang.

Rakannya, Zainun Awang, 68, dari Kampung Surau Haji Daud, di sini, berkata, uniknya pasar ini sejak dulu lagi beroperasi selama dua jam.

“Jam 8 pagi adalah waktu puncak kerana ramai pengunjung yang datang membeli barangan keperluan harian, kuih-muih dan sebagainya.

“Mungkin pelanggan menyedari pasar ini hanya beroperasi selama dua jam, oleh itu mereka datang lebih awal untuk membeli barangan yang diperlukan,” katanya.

Menurutnya, selepas menutup perniagaan di PKL pada jam 9.30 pagi, dia akan beralih berniaga di Pasar Kampung Gong Tok Nasek, pada jam 10 pagi hingga 12 tengah hari.

Menurut, Osman Teh, 60, dari Kampung Beladau Selat, di sini, berkata, dia berniaga di pasar itu sejak tujuh tahun lalu dan selepas menutup perniagaan dia terus pulang.

“Kalau orang luar yang lalu pada jam 10 atau 11 pagi mungkin mereka beranggapan pasar ini tidak digunakan kerana keadaan pasar yang sunyi tanpa seorang peniaga,” katanya.

Pengunjung, Zawiyah Abdullah, 48, berkata, pelbagai keperluan boleh diperoleh di PKL antaranya sayur, ikan, ayam dan buah-buahan.

“Saya akui kalau nak ke pasar ini kena datang awal kerana waktu operasinya agak singkat iaitu selama dua jam saja,” katanya.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker