Sembilan bulan sebelum Parlimen terbubar sendiri.

MASJID TANAH: Tempoh untuk gendang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) dipalu semakin singkat iaitu kira-kira sembilan bulan sahaja sebelum Parlimen terbubar dengan sendiri.

Justeru, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, berkata tempoh berbaki yang masih ada itu perlu digunakan sebaik mungkin untuk parti menarik sokongan rakyat supaya mandat baharu melalui PRU-15 berpihak kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Beliau yang juga Pengerusi BN Melaka, berkata semua pihak bebas untuk membuat apa sahaja andaian mengenai tarikh PRU-15, namun kata putus terpulang kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk menentukannya.



“Tempoh pentadbiran Kerajaan Pusat sekarang antara sekarang hingga Mei tahun depan sahaja dan masa itu tidak lama bagi kita untuk menyaksikan Parlimen dibubarkan pada bila-bila masa.

“Sesiapa pun boleh membuat andaian dan terpulang kepada strategi masing-masing. Macam UMNO ada strategi sendiri, takkanlah kita nak pergi perang kita hendak beritahu musuh kita bila kita akan serang?” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri program mengisi minyak motosikal secara percuma anjuran syarikat Kumpulan Fazil di sebuah stesen minyak di pekan ini, hari ini.

Sementara itu, Ab Rauf ketika ditanya mengenai dakwaan Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa BN tidak bersedia untuk mengadakan PRU-15 awal, berkata beliau yakin jentera BN sudah bersedia menghadapi sebarang kemungkinan termasuk Parlimen dibubarkan dalam masa terdekat.



Memberi contoh Pilihan Raya Negeri (PRN) di Melaka dan Johor sebelum ini, katanya banyak pihak beranggapan BN belum tidak bersedia, namun majoriti pengundi memberikan kepercayaan kepada parti untuk menang besar di dua negeri itu meskipun pada awalnya banyak pihak mendakwa BN tidak mampu berbuat demikian.

“Dahulu pun orang kata tak yakin BN boleh menang di Melaka dan Johor, tetapi terbukti rakyat yakin pemimpin BN mampu memberikan perkhidmatan dan mentadbir dengan baik,” katanya.

BHOnline



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button