Peritnya lawan komunis

Kuala Berang: Air mata dan tangisan pesara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dari Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) ketika menceritakan pengalaman menentang komunis sudah cukup untuk menggambarkan keperitan dilalui wira negara ini, Hamzah Musa, 72, berjuang mempertahankan negara.

Apatah lagi Hamzah turut mengalami kecacatan kekal pada bahagian tapak kaki kirinya selepas terpijak jerangkap samar (booby trap) ketika bertempur dengan musuh negara itu.

Ketika ditemui baru-baru ini, Hamzah ada kalanya tidak dapat menahan sebak dan beberapa kali menangis apabila terkenangkan pengalamannya menentang pengganas komunis.



Bekas tentera berpangkat koperal itu berkata, dia memasuki tentera pada 1972 ketika negara diancam dengan kegiatan pengganas komunis.

Katanya, pelbagai pengalaman dilaluinya sepanjang 21 tahun berkhidmat dalam tentera namun insiden terpijak jerangkap samar pada 1976 meninggalkan kesan yang mendalam kepadanya, sekali gus menjadi lambang pengorbanannya kepada negara.

“Antara laluan komunis adalah hutan Betong yang bersempadan dengan negara dan saya biasanya menyertai operasi bagi mengawal pergerakan dan menggempur mereka.

“Namun, nasib tidak menyebelahi saya apabila terpijak jerangkap samar menyebabkan tulang tapak kaki kiri hancur dan menerima rawatan hampir sebulan di Hospital Pulau Pinang,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Tok Dir di sini.



 

Menurutnya, dia menerima rawatan lebih satu tahun di Hospital Tentera Kem Terendak Melaka dan doktor yang merawatnya ketika itu memaklumkan dia akan mengambil masa yang lama untuk berjalan kembali.

“Tidak timbul rasa takut ketika itu kerana niat kami ketika itu mahu membunuh seramai mungkin komunis walaupun kami sendiri tidak tahu jumlah sebenar musuh yang ada ketika pertempuran berlaku.



“Alhamdulillah dengan izin Allah SWT, saya dapat berjalan semula setahun kemudian walaupun pergerakan agak terbatas dan peristiwa tidak mematahkan semangat saya untuk berkhidmat hingga bersara.

“Namun, saya terpaksa melupakan semua operasi membanteras pengganas komunis selepas mengalami kecacatan kekal pada kaki kiri,” katanya yang sudah hampir 30 tahun bersara.

Hamzah berkata, pengalaman lain yang masih segar dalam ingatannya adalah bertempur hampir tiga jam dengan komunis.

Menurutnya, pertempuran yang berlaku lewat petang itu membataskan penglihatan kerana keadaan di dalam hutan yang cepat gelap namun hujan peluru daripada musuh dari celah-celah pokok dibalas dengan tembakan bertali arus oleh pasukan keselamatan.



Katanya, berbekalkan senapang serba guna atau GPMG (general purpose machine gun), dia melepaskan tembakan berpandukan percikan api daripada muncung senapang musuh hingga mengakibatkan muncung senapangnya patah.

“Situasi itu membuatkan bunyi senapang semakin kuat sehingga menyebabkan pengganas komunis bertempiaran lari kerana menyangka saya menggunakan senjata berat dan beberapa komunis berjaya dibunuh,” katanya.

Menurut Hamzah, dia ditempatkan di banyak kem di dalam negara termasuk Sabah dan Sarawak manakala kem terakhirnya ditugaskan iaitu di Batalion ke 18 RAMD Seberang Takir, Kuala Nerus.

“Saya menyeru masyarakat terutama generasi muda untuk menghayati dan menghargai keamanan yang dikecapi kerana mengekalkan sebuah kemerdekaan amat sukar berbanding untuk meruntuhkan kedaulatan negara.



“Apa yang kita ada hari ini perlu dipelihara, dijaga sebaiknya kerana pengalaman menentang pengganas komunis ketika itu sememang perit dan saya tidak mahu generasi akan datang melalui apa yang kami pernah lalui,” katanya.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button