UKM terima anugerah BrandLaureate

Oleh – Rohana Man

UKM terima anugerah BrandLaureate

KUALA LUMPUR – Kecemerlangan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam pelbagai bidang mendapat pengiktirafan apabila dianugerahkan BrandLaureate BestBrands Awards 2021-2022 bagi kategori Nation’s Pride, baru-baru ini.

UKM yang merupakan sebuah universiti penyelidikan awam melakar sejarah apabila buat julung kalinya dipilih sebagai penerima anugerah tersebut.

Dalam satu kenyataan kepada media, UKM memaklumkan anugerah tersebut mengiktiraf kejayaan universiti itu dalam pelbagai aspek dan bidang tujahan universiti, sekali gus mengukuhkan jenama UKM sebagai sebuah institusi pendidikan tinggi yang seimbang dari segi kecemerlangan akademik, penyelidikan dan khidmat masyarakat.

“Anugerah ini memberi penghormatan kepada UKM, sekali gus membuktikan ada peningkatan dalam mempromosi serta memperkasakan penjenamaan mereka,” ujar kenyataan itu.

UKM KETIGA MALAYSIA, 141 QS WORLD UNIVERSITY

Universiti yang ditubuhkan pada 1970 itu kini berada di kedudukan ketiga dalam senarai ranking Malaysia, manakala senarai kedudukan ranking terbitan QS World University pula menunjukkan UKM berada di tempat ke-141 bagi tahun 2022-2023.

Mengulas lanjut, kenyataan tersebut memaklumkan kejayaan UKM yang ditempa pada usia institusi itu mencecah 52 tahun, akan menjadi platform lonjakan dalam memperkemaskan langkah mencapai kedudukan lebih tinggi selepas merekodkan pencapaian ke-129 universiti terbaik dunia dalam masa singkat.

“Kejayaan yang tercipta hari ini tidak hadir dengan mudah. Ia hasil pengorbanan dan perjuangan seluruh warga yang sentiasa bersatu hati dalam usaha memartabatkan UKM sebagai sebuah universiti watan yang tersohor dan disegani,” tambah kenyataan itu.

Dalam satu perkembangan lain, kerangka atau TERAS yang merangkumi elemen bakat, etika, memperkasa, tangkas dan jiwa menjadi rujukan serta panduan semua warga UKM terhadap hala tuju universiti dalam usaha meningkatkan pencapaian ke tahap tertinggi.

Perkongsian terhadap kefahaman elemen TERAS ini membolehkan warga UKM secara kolektif merealisasikan agenda kecemerlangan universiti, sederap dengan aspirasi Kementerian Pengajian Tinggi.

”Inilah landasan yang dilalui semua warga UKM dalam melaksanakan peranan mereka,” kata kenyataan itu lagi.

Kenyataan itu turut menyebut, selain memenuhi agenda pendidikan tinggi negara, elemen kemasyarakatan sentiasa dititikberatkan bagi mengimbangi kecemerlangan warga universiti berkenaan.

“Ketika negara berdepan pandemik Covid-19, UKM menyumbang kepada peratusan imuniti kelompok rakyat Malaysia melalui tiga inisiatif Pusat Pemberian Vaksin Institut Pengajian Tinggi (PPV IPT) yang beroperasi secara berpusat di Dewan Gemilang UKM dan Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) UKM,” kata kenyataan tersebut.

Dalam pada itu, UKM turut melaksanakan pemberian vaksin secara pandu lalu di Hospital Tunku Ampuan Besar Tuanku Aishah Rohani, Hospital Pakar Kanak-kanak UKM dan inisiatif PPV Bergerak oleh HCTM UKM, yang bertujuan melaksanakan misi pemberian suntikan vaksin dari rumah ke rumah.

Malah, ketika musibah banjir melanda negara baru-baru ini, ratusan warga UKM yang terdiri daripada pasukan perubatan, keselamatan, pensyarah dan lain-lain telah menjelajah ke kawasan yang terkesan bagi menghulurkan bantuan.

Justeru, anugerah yang diterima merupakan pemangkin buat kesemua warga UKM untuk meneruskan usaha bagi meningkatkan dan menambah pencapaian sedia ada.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker