West Ham beli bintang Brazil RM267 juta
London: West Ham melengkapkan pembelian pemain Brazil, Lucas Paqueta dengan harga rekod kelab £51 juta (RM267.98 juta), umum kelab London itu awal pagi tadi.
Pemain tengah itu yang berpindah dari kelab Perancis, Lyon adalah pemain kelapan ditandatangani skuad David Moyes selepas Nayef Aguerd, Alphonse Areola, Maxwel Cornet, Flynn Downes, Thilo Kehrer, Emerson Palmieri dan Gianluca Scamacca yang kesemuanya tiba di Stadium London pada awal jendela perpindahan lalu.
Paqueta, 25, mengikat kontrak lima tahun dengan pilihan setahun lagi. Dia berdepan The Hammers ketika mereka menyingkirkan Lyon pada saingan Liga Europa musim lalu dan menjadi sasaran kelab Liga Perdana Inggeris sekian lama termasuk Arsenal yang berminat dengannya sejak beberapa tahun lalu.
West Ham akan membayar yuran permulaan £36.4 juta dengan bayaran tambahan menjadikan jumlah keseluruhan £51 juta untuk beberapa tahun akan datang.
Paqueta yang juga bekas pemain AC Milan akan memakai jersi nombor 11 dan dalam laman web West Ham dia berkata: “Saya sangat gembira berada di sini.
“Saya berharap ia perjalanan menggembirakan dan berjaya di sini. West Ham mempunyai musim yang cemerlang musim lalu dan saya berharap mereka dapat meneruskannya musim ini.
“Saya gembira menyarung jersi West Ham dan menunjukkan kepada penyokong apa yang boleh saya lakukan, membantu rakan sepasukan dan kelab.”
Paqueta dijangka tampil kali pertama pada awal pagi Khamis ini ketika menentang Tottenham di tempat sendiri.
METRO