Zainal Arif Mr Malaysia 2022

KUALA LUMPUR: Mentaliti tidak pernah putus asa memberikan kelebihan buat Zainal Arif Zainal Ariffin apabila dinobatkan selaku Juara Antara Juara Mr Malaysia 2022 pada Kejohanan Bina Badan Kebangsaan 2022 di Alor Setar, Kedah, semalam.

Beraksi dalam kategori kategori 75-80 kilogram (kg), Zainal memperagakan bentuk tubuh yang menarik dalam usaha menambat hati juri sekali gus menewaskan barisan juara bagi kategori lain untuk meraih gelaran Mr Malaysia buat kali pertama sepanjang kariernya.

Zainal berkata, ini adalah kejohanan keempat yang disertainya pada tahun ini selepas melalui detik sukar di Sukan SEA Vietnam, Mei lalu yang menyaksikan dirinya meraih pingat gangsa.

“Menjelang saingan Sukan SEA, saya dijangkiti COVID-19, jadi agak sukar untuk meneruskan latihan ketika itu. Selama dua minggu saya hanya berehat di rumah dan melakukan latihan ringan saja. Saya tak dapat menjalani latihan di gimnasium tetapi masih berjaya meraih gangsa,” kata Zainal yang juga seorang anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Malah, kejayaan Zainal tidak terhenti di situ saja apabila menyertai Kejohanan Asia yang menyaksikan dirinya meraih tempat kelima selain mempertahankan Mr ATM buat kali ketujuh berturut-turut pada tahun ini.

Mengulas kejayaan memegang status Mr Malaysia, Zainal akui tidak menjangka dapat memenanginya kerana berdepan saingan sukar daripada pesaing lain selain mengalami kecederaan pada bahagian betis kanan.

“Hampir semua pesaing saya juga adalah atlet kebangsaan, jadi sudah pasti saya amat berbangga dapat memenangi gelaran Mr Malaysia kerana bukan mudah untuk meraih gelaran itu.

“Saya tak pernah berhenti menjalani latihan walapun berdepan kecederaan di betis kanan sebelum bermulanya Mr Malaysia. Kejayaan ini saya tujukan kepada majikan saya ATM dan TUDM selain keluarga serta jurulatih,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Bina Badan Kedah Darulaman (PBBKD), Datuk Mohd Zayad Md Ismail yang juga Penasihat Jawatankuasa Penganjur Kejohanan Bina Badan Kebangsaan Mr Malaysia berkata, pihaknya bersyukur dapat menganjurkan kejohanan itu dengan baik dan lancar.

“Saya tidak mahu menyatakan ia mungkin terbaik dalam sejarah penganjuran kejohanan kebangsaan tetapi setakat ini kami menerima pujian daripada negeri yang bertanding. Untuk atlet Kedah, ada yang dapat memasuki peringkat final tetapi tidak menang. Apapun saya berpuas hati dengan pencapaian mereka,” katanya.

Penganjuran Kejohanan Bina Badan Kebangsaan ke-51 itu mendapat sambutan menggalakkan apabila seramai 158 peserta mengambil bahagian sekali gus jumlah penyertaan paling terbesar sejak 10 tahun kebelakangan ini.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker