25 penghuni penjara layak masuk UPSI

Datuk Nordin Muhamad (duduk, kiri) dan Prof. Datuk Dr. Md. Amin Md. Taff (duduk, kanan) menandatangani nota kerjasama sambil disaksikan Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan), Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Abdul Halim Abdul Rahman di Bangi, petang tadi.

Oleh Azrin Muhammad

KUALA LUMPUR – Seramai 25 penghuni penjara di seluruh negara telah dikenal pasti berpeluang untuk melanjutkan pelajaran ke Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di bawah Program Diploma Keusahawanan.



Menurut Komisioner Jeneral Penjara, Datuk Nordin Muhamad, kesemua bakal pelajar itu akan mendapat pembiayaan penuh yuran pengajian berjumlah RM259,500 daripada Pusat Wakaf Endownmen; Zakat, Khairat dan Sedekah UPSI.

“Mereka yang terpilih akan mendapat peruntukan sebanyak RM10,380 yang dijangka akan memulakan pengajian pada September 2022 secara sepenuh masa selama dua tahun di Sekolah Integriti Penjara Kluang, Johor.

“Kesemua penghuni penjara yang layak telah melalui proses pemilihan berdasarkan keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mereka dahulu,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Terdahulu, Jabatan Penjara Malaysia telah menandatangani nota kerjasama dengan UPSI untuk menaja 25 penghuni penjara terpilih di bawah Program Pengajian Diploma dalam satu majlis rasmi yang berlangsung di Bangi Resort Hotel, petang tadi.



Turut hadir, Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Md. Amin Md. Taff dan Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan) Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Abdul Halim Abdul Rahman.

Tambah Nordin, pihaknya yakin dan percaya usaha sedemikian dapat membantu proses pemulihan banduan menerusi pendidikan yang berterusan dan terancang.

“Saya yakin peluang menyambung pengajian ini mampu mempengaruhi perkembangan potensi golongan penghuni untuk kekal dan tidak kembali melakukan kesalahan apabila bebas kelak.

“Program ini juga sejajar dengan hasrat Jabatan Penjara Malaysia untuk menjadikan penjara sebagai pusat pembangunan ketamadunan manusia,” katanya.



Tambahnya lagi, pihaknya berharap inisiatif ini akan membuka laluan dan peluang kepada ramai dermawan untuk menyumbang bagi menjayakan program sama pada masa akan datang.

Sementara itu, Md. Amin pula berkata, pemerkasaan golongan pesalah muda menerusi peluang pendidikan kedua ini boleh bertindak sebagai alternatif dinamik dalam memacu langkah progresif pihak UPSI.

“Pihak institusi akan terus mengiktiraf setiap banduan yang mempunyai fungsi dan keupayaan tersendiri ke arah mengubah kadar residivis (jenayah berulang) negara.

“Usaha ini perlu bermula dari dalam institusi lagi, di mana bekas penghuni dalam institusi bukan lagi dianggap sebagai liabiliti,” katanya.



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button