Chelsea dikejutkan 2-1 oleh Southampton

LONDON: Thomas Tuchel mahu Chelsea tampil lebih kuat selepas dikejutkan 2-1 oleh Southampton dalam aksi Liga Perdana Inggeris di St Mary’s awal pagi tadi.

Skuad kendalian Tuchel mensia-siakan kelebihan di St Mary’s selepas Raheem Sterling meletakkan mereka di depan pada pertengahan babak pertama.

Penyerang England itu meledak gol ketiganya dalam dua perlawanan dengan rembatan jarak dekat pada minit ke-23.



Sebelum itu Chelsea mempunyai beberapa peluang untuk mendahului permainan, tetapi ketumpulan jentera serangan kembali menghantui mereka.

Romeo Lavia menyamakan kedudukan pada minit ke-28 dengan gol pertamanya untuk Southampton – melencongkan bola dari hujung kotak penalti selepas Chelsea gagal mengeluarkan bola sepakan sudut.

Adam Armstrong meletakkan Southampton di depan sejurus sebelum rehat apabila dia memanfaatkan hantaran Romain Perraud untuk menewaskan penjaga gol Chelsea, Edouard Mendy.

Chelsea, tewas 3-0 di Leeds dalam perlawanan di tempat lawan sebelum ini, gagal bangkit selepas rehat dan mencatat kekalahan kedua dalam tiga perlawanan terakhir mereka.



“Lembut, lembut, pertahanan yang lembut. Tidak perlu memberikan lawan peluang. Tampil lebih kuat sebagai satu pasukan dan tunjukkan mentaliti berbeza.

“Terlalu mudah untuk membuat kami hilang keseimbangan, menewaskan kami, mengelirukan kami. Ia terlalu mudah.

“Perkara sama berlaku ketika menentang Leeds. Kami perlu memahaminya dan mencari penyelesaian. Kami hilang tumpuan, lari daripada perancangan dan tidak konsisten.

“Saya tidak faham mengapa kami mempunyai terlalu banyak kecederaan. Gagal bangkit di babak kedua amat mengecewakan,” kata Tuchel.



Dengan hanya dua kemenangan daripada lima perlawanan pertama, The Blues kini ketinggalan lima mata di belakang pendahulu, Arsenal, yang akan beraksi menentang Aston Villa hari ini.

AFP

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button