YPJ bantu pelajar diploma mendaftar

Kolej Yayasan Pelajaran Johor menawarkan bantuan kewangan kepada pelajar bagi sesi kemasukan Ogos/September 2022.

 

Rohana Man

 

KUALA LUMPUR – Yayasan Pelajaran Johor (YPJ) mempelawa pelajar Kolej Yayasan Pelajaran Johor (KYPJ) yang memerlukan bantuan kewangan untuk pendaftaran memohon Skim Bantuan Pendaftaran Ke IPT 2022 bagi sesi kemasukan Ogos/September 2022.

Menurut kenyataan YPJ, tempoh permohonan sudahpun dibuka pada 28 Ogos lalu dan akan berakhir pada 25 September ini.



Setiap permohonan disyaratkan agar melampirkan dokumen sokongan yang dihantar ke YPJ Larkin dalam tempoh 14 hari selepas mendaftar secara atas talian.

“Pihak YPJ menyediakan bantuan kewangan sebanyak RM500 setiap pelajar yang mendaftar program diploma di kolejnya,” tambahnya.

Kenyataan itu menyebut, pelajar Sekolah Kejuruteraan & Sains Kreatif yang akan mengikuti kursus Diploma Kejuruteraan Mekanikal (Rekabentuk), Diploma Kejuruteraan Elektronik, Diploma Rekabentuk Dalaman dan Diploma Senibina layak memohon.

Selain itu, pelajar program diploma di Sekolah Pengurusan & Sains Sosial dalam bidang perakaunan, pengajian perniagaan dan pengurusan sumber manusia juga layak memohon.



“Permohonan juga dibuka kepada pelajar yang mengikuti program Diploma Pengurusan Perhotelan, Diploma Seni Kulinari dan Diploma Pengurusan Perkhidmatan Makanan yang ditawarkan di Sekolah Hospitaliti & Pelancongan,” kata kenyataan itu.

Dalam satu perkembangan lain, KYJ mempelawa pelajar yang memenuhi syarat kemasukan minimum tiga kredit peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) memohon bagi kemasukan sesi Ogos/September 2022.

“Pelajar yang berjaya dalam permohonan ini akan disediakan kemudahan biasiswa, pinjaman dan bantuan lain.

“Yuran pendaftaran kemasukan hanya RM50 dan pelajar layak menikmati kemudahan asrama secara percuma selama satu semester,” tambah kenyataan tersebut.

Selain itu, pihak kolej turut menawarkan yuran pengajian percuma kepada pelajar B40 yang mengikuti program usahasama dengan Universiti Teknologi Mara (UiTM).

“Menamatkan pengajian di KYPJ akan membuka laluan alternatif kepada pelajar lepasan kolej ini melanjutkan pelajaran ke universiti awam,”ujar kenyataan itu.

Kolej bertaraf lima bintang dalam MyQUEST Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) itu menyediakan silibus yang memenuhi kehendak industri.

Setakat hari ini, statistik menunjukkan kira-kira 95 peratus graduan KYPJ berjaya memperoleh pekerjaan sebaik sahaja tamat pengajian.

Untuk maklumat lanjut, sila WhatsApp ke nombor berikut, wasap.my/60197574533/infoSBP

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker