Kontinjen KPT gagah beraksi sambut merdeka

Oleh – Rohana Man

Kontinjen KPT bersiap sedia untuk memulakan perbarisan sempena sambutan Hari Kebangsaan 2022 di Dataran Merdeka

 

KUALA LUMPUR – Selama dua tahun berturut-turut hari kemerdekaan negara tidak disambut secara besar-besaran di peringkat kebangsaan akibat pandemik Covid-19, hari ini suasana meriah dan ceria kembali mewarnai persekitaran Dataran Merdeka.

Sejak awal pagi,orang ramai mula membanjiri dataran bagi menyaksikan perarakan dan perbarisan pasukan seragam, agensi kerajaan,pertubuhan bukan kerajaan dan lain-lain termasuk pertunjukan udara oleh pasukan keselamatan negara.

Tidak ketinggalan kontinjen Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) yang melangkah gagah dalam perbarisan sempena sambutan Hari Kemerdekaan Negara Ke-65 tahun ini.

Kibaran Jalur Gemilang dan sorakan puluhan ribu hadirin membangkitkan lagi semangat kontinjen KPT untuk terus melangkah gagah melintasi pentas diraja.

Facebook rasmi KPT hari ini memaklumkan sambutan Hari Kebangsaan tahun ini menyaksikan penglibatan lebih 20,000 peserta persembahan dan perarakan, 76 haiwan dalam perkhidmatan, 369 aset tentera darat dan 68 aset tentera udara.

Acara sambutan hari ini bermula dengan ketibaan pembesar negara, termasuk Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad seawal pukul 7.30 pagi.

Kontinjen KPT (kiri) gagah mengatur langkah dalam perbarisan sempena sambutan Hari Kebangsaan 2022 di Dataran Merdeka

Setengah jam kemudian sambutan rasmi bermula dengan keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dengan menaiki kereta kuda diraja.

Kontinjen KPT yang menyertai perbarisan ini melibatkan penyertaan 84 kakitangan yang terdiri daripada Pegawai Kanan KPT, Timbalan Naib Canselor Universiti Awam, Ketua Agensi seperti JPT, JPPKK, AKEPT, MQA, PTPTN dan EMGS dan warga KPT daripada pelbagai skim perkhidmatan.

Turut serta dalam kontinjen KPT ialah 20 pemimpin pelajar iaitu Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar Kebangsaan (MPPK) universiti awam seluruh negara.

Kontinjen KPT yang diketuai Setiausaha Bahagian (Dasar dan Penyelidikan) KPT, Dr. Wan Baharudin Wan Mahmood mengenakan pakaian korporat gabungan warna Jalur Gemilang, dengan latar belakang biru dan putih.

Pilihan warna itu mencerminkan kesepaduan warga KPT dari pelbagai peringkat untuk bersama-sama berganding bahu bagi memajukan pendidikan tinggi negara.

Selain itu, warna-warna itu juga menunjukkan kesungguhan KPT dalam meningkatkan prestasi supaya sentiasa dipandang tinggi di mata dunia sebagai sebuah hab pengajian yang unggul.

Menariknya, baju korporat itu direka oleh Timbalan Pengarah Pengurusan, Kolej Komuniti Kuala Langat, Mohamad Shabudin Mohamad Nor yang juga pensyarah dalam bidang animasi.

“Mesej keprihatinan kementerian ini adalah jelas melalui simbolik penyatuan dan keterangkuman penglibatan semua peringkat ke arah mendokong agenda pendidikan tinggi berkualiti, dan seterusnya melahirkan insan yang cemerlang serta negara yang sejahtera,” kata kenyataan itu.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker