Krisis kemanusiaan Turkiye-Syria: 874,000 kelaparan dan hilang tempat tinggal

Krisis kemanusiaan Turkiye-Syria: 874,000 kelaparan dan hilang tempat tinggal

Krisis kemanusiaan Turkiye-Syria: 874,000 kelaparan dan hilang tempat tinggal
SEORANG wanita tidak dapat menahan kesedihan semasa pengebumian saudara mara di Kahramanmaras.-AFP

KAHRAMANMARAS: Sekurang-kurangnya 874,000 orang memerlukan bantuan makanan dengan segera di Turkiye dan Syria selepas gempa bumi kuat melanda di kedua-dua negara itu Isnin lalu.

Sehubungan itu, Program Makanan Sedunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) merayu sumbangan masyarakat antarabangsa sebanyak AS$77 juta (RM333.6 juta) bagi menyediakan catuan makanan kepada sekurang-kurangnya 590,000 orang yang hilang tempat tinggal di Turkiye dan 284,000 lagi di Syria.

Daripada jumlah itu, 545,000 adalah merupakan kalangan yang hilang tempat tinggal akibat gempa bumi manakala 45,000 lagi adalah merupakan kalangan pelarian.



Kelmarin, PBB turut menggesa semua kawasan yang terjejas dengan tempat militan Kurdish dan pemberontak Syria membenarkan akses kemanusiaan dijalankan.

Oleh itu, Parti Pekerja Kurdistan yang dianggap sebagai kumpulan pengganas oleh Ankara mengumumkan pemberhentian sementara pertempuran bagi memudahkan kerja-kerja pemulihan dan pemberian bantuan kemanusiaan.

EMPAT JUTA HARAP BANTUAN

Di barat laut Syria yang dikuasai pemberontak, kira-kira empat juta orang bergantung kepada bantuan kemanusiaan, tetapi tiada penghantaran bantuan dari kawasan yang dikawal kerajaan dalam tempoh tiga minggu lalu.

Kerajaan Syria menyatakan, mereka meluluskan penghantaran bantuan kemanusiaan ke kawasan yang dilanda gempa bumi yang kini berada di luar kawalannya.



Bagaimanapun, hanya dua konvoi bantuan dilaporkan menyeberangi sempadan minggu ini dari Turkiye.

Perang saudara selama sedekad dan pengeboman udara Syria-Rusia turut memusnahkan hospital dan menyebabkan kekurangan bekalan elektrik dan air.

Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres menggesa Majlis Keselamatannya membenarkan pembukaan pusat bantuan kemanusiaan rentas sempadan baharu di antara Turkiye dan Syria.

Majlis itu dilaporkan akan bermesyuarat untuk membincangkan mengenai bantuan di Syria, awal minggu depan.

Kerajaan Turkiye pula berkata, pihak mereka sedang berusaha membuka dua laluan baharu ke bahagian Syria yang dikuasai pemberontak.

Musim sejuk di bawah negatif lima darjah Celsius menyebabkan beribu-ribu mangsa gempa bumi terpaksa bermalam di dalam kereta atau berhimpit-himpit di sekitar unggun api.

Pegawai di Turkiye berkata, kira-kira 12,141 bangunan musnah atau rosak teruk dalam kejadian gempa bumi itu.

PELUANG HIDUP TIPIS

Seorang profesor di Universiti Bogazici yang berpangkalan di Istanbul, Mustafa Erdik berkata, keadaan lantai bangunan yang runtuh bertindih di atas satu sama lain.

Ini bermaksud peluang untuk mangsa-mangsa ditemukan dalam keadaan hidup adalah tipis.

Kelmarin, polis Turkiye menahan seorang kontraktor yang cuba melarikan diri dari negara itu selepas bangunan yang dibinanya runtuh dalam gempa bumi yang dahsyat itu.

Seorang pesara di Bandar Antakya di selatan Turkiye,Fidan Turan bercerita dia tidak mengetahui nasib yang bakal menimpanya.

“Apabila saya melihat bangunan yang musnah, mayat bergelimpangan, saya tidak dapat bayangkan di mana saya akan berada dalam masa dua atau tiga tahun, saya tidak dapat bayangkan di mana saya akan berada esok,” katanya sambil bergenang air mata.

“Saya kehilangan 60 ahli keluarga besar. “Enam puluh! Apa lagi yang boleh saya katakan? Ini kehendak Tuhan,” katanya.-AFP

58 pelarian Rohingya tiba di Aceh, alami kelaparan teruk

Krisis kemanusiaan Turkiye-Syria: 874,000 kelaparan dan hilang tempat tinggal

 


DISYORKAN UNTUK ANDA :

LAWATI LAMAN FACEBOOK KAMI :

PN Tidak Perlu Politikkan Isu Penggantungan Pemain Hoki Negara

 

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker