Berkorban jaga ibu bapa uzur, dua saudara OKU

MACHANG: Demi kasih dan sayang terhadap ibu dan ayah yang uzur serta dua beradiknya orang kurang upaya (OKU) lembam, remaja ini menggalas tanggungjawab sebagai ketua keluarga sejak lebih tiga bulan lalu.

Mohd Raffi Ismail, 22, berkata dia yang sebelum ini bekerja di sebuah kilang pembuatan kereta di Nilai, Negeri Sembilan mengambil keputusan untuk berhenti kerja dan pulang ke kampung pada Mei lalu.

Katanya, dia berbuat demikian untuk menjaga kebajikan serta mengurus kedua-dua ibu bapanya, Umi Kalsum Yaakob, 57, dan Ismail Salleh, 85, selain abang, Mohd Rizwan, 33, dan adiknya, Mohd Hafiz, 18, yang berstatus OKU lembam.

Bagi meneruskan kelangsungan hidup selain perlu menggalas tanggungjawab sebagai ketua keluarga, katanya, pada Julai lalu dia bekerja di sebuah pasar raya di sini dan hampir setiap hari perlu berulang-alik sejauh 20 kilometer dari rumahnya ke tempat kerja dengan menunggang motosikal.

“Saya masih mempunyai seorang kakak, namun dia sudah berkeluarga serta ada anak-anak kecil yang perlu diuruskan dan sebagai anak lelaki saya perlu mengambil alih menjaga ibu, ayah, abang serta adik yang memerlukan perhatian.

“Walaupun dalam serba kekurangan, demi amanah dan tanggungjawab untuk keluarga, saya tidak pernah menyesal berhenti kerja dan pulang ke kampung untuk menguruskan mereka kerana percaya dengan rezeki yang sudah diberikan oleh Allah SWT,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Belukar Panjang, baru-baru ini.

Terdahulu, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Cempaka Merah Asnaf Society yang diwakili Pengerusinya, Che Norhayati Mohamed hadir menziarahi keluarga berkenaan dan turut menyampaikan sumbangan wang tunai untuk meringankan beban yang ditanggung.

Mohd Raffi berkata, pendapatan bulanannya sebagai pekerja di sebuah pasar raya hanya sekadar cukup makan dan dia perlu bijak mengurus kewangan termasuk menjelaskan bil utiliti pada setiap bulan.

“Ada kalanya kakak hulurkan wang belanja, namun sebolehnya saya tidak mahu menyusahkannya kerana dia bukan dalam kalangan orang yang senang dan kehidupan mereka sekeluarga ibarat `kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’ untuk meneruskan kelangsungan hidup.

“Bagaimanapun, apabila sudah kehabisan wang, kami sekeluarga hanya mengalas perut dengan hanya minum air kosong atau makan nasi bersama garam atau budu,” katanya.

Anak ketiga daripada empat beradik ini berkata, akibat kedaifan hidup, sejak enam tahun lalu mereka sekeluarga mendiami rumah pusaka usang peninggalan arwah neneknya selepas rumah yang didiami mereka sebelum ini sudah tidak selamat untuk diduduki.

“Rumah peninggalan arwah nenek yang kami diami kini tidak mempunyai bilik air selain tandas berada di luar rumah dan pada masa sama menggunakan air telaga untuk urusan harian,” katanya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menyalurkannya ke akaun CIMB bernombor 7628976355 atas nama Mohd Raffi Ismail atau boleh menghubunginya di talian 011-23692526.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker