Dua kedai ubat hangus

SEREMBAN: Seramai 50 petugas bomba dari empat balai terpaksa dikerahkan bagi memadam kebakaran dua unit rumah kedai lama di Jalan Dato Lee Fong Yee, di sini, yang hangus dalam kebakaran awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi, kebakaran menyebabkan kedua-dua unit premis dua tingkat berkenaan musnah hampir 100 peratus.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seremban, Timbalan Penguasa Bomba, Mohamad Idris, berkata bagaimanapun tiada kemalangan jiwa atau mangsa yang tercedera dalam kejadian itu.

“Pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 3.05 pagi yang memaklumkan terdapat tiga lot rumah kedai lama terbakar.

“Sepasukan anggota dan pegawai dari BBP Seremban ke lokasi dan turut dibantu tiga BBP Seremban 2, BBP Senawang serta BBP Ampangan membabitkan 50 keanggotaan secara keseluruhan selain sembilan jentera,” katanya dihubungi.

“Pada mulanya kami mendapat maklumat kebakaran membabitkan tiga unit premis, namun selepas penilaian semula hanya dua kedai ubat yang terbakar.

“Struktur dan lantai kedai berusia lebih 50 tahun daripada kayu mungkin menjadi penyebab api merebak dengan cepat dan memusnahkan hampir keseluruhan unit,” katanya sambil menambah punca dan anggaran kerugian masih dalam siasatan.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker