Sancho bantu United atasi Leicester

LEICESTER: Jadon Sancho memberikan Manchester United kemenangan ketiga berturut-turut dalam saingan Liga Perdana Inggeris musim ini selepas menewaskan Leicester 1-0.

Gol berkenaan hadir selepas beberapa jam selepas United mengesahkan pembelian pemain sayap kanan Ajax, Antony pada harga 82 juta pound (RM424.4 juta) – posisi yang diisi Sancho ketika ini.

Sancho seakan memberi isyarat kepada pengendali United, Erik ten Hag, yang dia masih relevan untuk terus berada di posisi itu dengan meledak gol keduanya musim ini.



United melonjak ke tangga kelima liga dan hanya satu mata di bawah kelompok empat teratas selepas permulaan hambar di bawah kendalian Ten Hag.

Ditewaskan oleh Brighton dan Brentford pada dua perlawanan pertama kendaliannya, Ten Hag bangkit dengan tiga kemenangan berturut-turut.

“Ia satu lagi langkah ke depan jadi saya gembira dengannya. Kami menunjukkan semangat berpasukan yang baik. Kami mempunyai 11 pemain di atas padang yang berjuang untuk satu sama lain dan menjaringkan gol yang menarik.

“Apabila anda mempunyai 11 pemain di atas padang yang boleh bertahan dan menyerang bersama, dan mempunyai tenaga, anda lihat apa yang anda mampu capai.



“Namun masih ada ruang untuk peningkatan tetapi ia adalah perkara biasa di peringkat ini. Kami sepatutnya menjaringkan gol kedua,” kata Ten Hag.

Cristiano Ronaldo sekali lagi bermula di bangku simpanan dan kehadiran Antony dijangka akan terus mengehadkan minit permainannya.

Harapan Ronaldo untuk mencari pasukan baharu yang beraksi di Liga Juara-Juara Eropah pada jendela perpindahan kali ini tidak kesampaian selepas tiada pasukan yang sanggup menerima harga diletakkan United.

Antony dijangka akan membuat penampilan pertamanya bersama United pada pertemuan dengan pendahulu liga, Arsenal Ahad ini.



Pada perlawanan di Stadium King Power itu, Bruno Fernandes dan Marcus Rashford bergabung membuka ruang untuk Sancho meledak gol tunggal permainan pada minit ke-23.

Leicester kini menghuni tangga tercorot selepas hanya mengutip satu mata dalam lima perlawanan pertama, permulaan terburuk mereka sejak tahun 1994.

AFP



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button