Tiada masalah bekalan telur

Kajang: “Tiada masalah setakat ini, setiap hari ada (bekalan telur),” kata peniaga telur ayam dan barangan keperluan, Abdul Khalid Ahmat.

Abdul Khalid, 50, ditemui ketika tinjauan Harian Metro di Pasar Kajang, di sini, hari ini.

Menurut Abdul Khalid, bukan hanya tidak berdepan masalah kekurangan bekalan malah tiada keluhan diterima daripada pelanggan mengenai harga (telur) setakat ini.

“Datang (bekalan yang diterima) 39 sen sebiji, kita jual 41 sen dan itu adalah harga telur bagi gred C.



“Ia (41 sen) adalah harga kawalan dan saya memang jual telur gred C saja.

“Saya ikut saja harga ditetapkan dan buat masa ini tiada aduan daripada pelanggan berkaitan kekurangan bekalan,” katanya yang sudah berniaga di Pasar Kajang, di sini, sejak hampir 30 tahun lalu.

Seorang lagi peniaga, J Naki, 65, berkata, dia juga tidak berdepan masalah bekalan telur ayam malah dapat menjual kepada pelanggan seperti biasa.

“Okay saja setakat ini, tiada pula dengar isu kekurangan bekalan.



“Pelanggan datang cari telur ayam setiap hari dan saya jual ikut harga ditetapkan , takut jual harga lain nanti kena saman,” katanya.

Sementara itu, pengguna, Remi Halim, 60, dari Taman Zamrud, di sini berkata, dia juga tidak nampak masalah kekurangan bekalan telur ayam setakat ini.

“Saya beli telur sekali dalam seminggu, kebiasaannya 10 biji.

“Mudah saja dapatkannya, bekalan di sini juga ada jadi tiada masalah,” katanya.

Manakala, pengguna dikenali Zuraini, 56, mengakui berlaku masalah bekalan telur ayam gred B beberapa minggu lalu.

“Saya memang beli dan guna telur gred B jadi apabila cari tiada, yang tinggal hanya gred A.

“Mungkin berlaku catuan ketika itu, saya pun tidak pasti namun kini bekalan kembali ada seperti biasa,” katanya yang menetap di Jalan Reko di sini.

Semalam, Harian Metro melaporkan keluhan pengguna di Johor Bahru, Johor yang mendakwa sukar mendapatkan telur ayam berikutan stoknya didakwa berkurangan sejak seminggu lalu.

Ia berdasarkan tinjauan dilakukan di kedai runcit dan pasar mini sekitar Pandan dan Iskandar Puteri di sini yang mendapati kebanyakan premis sudah kehabisan stok telur masing-masing.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker