USM ungguli Anugerah Khas AKRI 2022



Oleh – Rohana Man

USM ungguli Anugerah Khas AKRI 2022

PUTRAJAYA – Universiti Sains Malaysia (USM) mengungguli senarai penerima Anugerah Khas YB Menteri Pengajian Tinggi : Reka Bentuk Kurikulum dan Penyampaian Inovatif (AKRI) 2022 apabila menggondol tiga hadiah utama termasuk tempat pertama.

Tiga pensyarah USM yang menerima anugerah itu ialah Dr. Norazzizi Nordin, Dr. Nasuha Lee Abdullah dan Prof. Dr. Muhammad Kamarul Kabilan Abdullah.

Dr. Norazzizi merupakan pensyarah Pusat Pengajian Sains Kimia dinobatkan sebagai johan Kategori Pengalaman Pembelajaran Imersif (Bersemuka) dengan membawa pulang wang tunai RM10,000 dan trofi.

Kejayaan Dr. Norazzizi adalah melalui projek bertajuk Pembelajaran Imersif Spektroskopi Molekul Melalui Aktiviti Kolaboratif Menggunakan CollactiFNote, SpectrAR, Struktur Molekul Augmented Reality dan Perkongsian Peta Minda.

Sementara itu, Dr. Nasuha Lee dan Dr. Muhammad Kamarul masing-masing dipilih sebagai naib johan dan tempat ketiga Kategori Pentaksiran Alternatif.

Dr. Nasuha Lee yang merupakan pensyarah Pusat Pengajian Sains Komputer dipilih sebagai naib johan melalui projek bertajuk Alternative Assessment for Consultancy Project and Practicum. Beliau membawa pulang wang tunai RM5,000 serta trofi.

Manakala Dr. Muhammad Kamarul yang merupakan pensyarah Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan dipilih sebagai pemenang tempat ketiga melalui projek bertajuk Advancing Creativity Together (ACT): The Use of Triple ‘A’ (Authentic Alternative Assessment) and Its Impact on Students’ Learning. Beliau membawa pulang wang tunai RM3,000 serta trofi.

Majlis penyampaian hadiah kepada pemenang disempurnakan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad yang ditonton secara langsung menerusi FB Live Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) di sebuah hotel terkemuka di sini, hari ini.

Memetik kenyataan media KPT, anugerah khas berkenaan diadakan bagi mengiktiraf pensyarah yang cemerlang, kreatif dan inovatif dalam pengajaran dan pembelajaran (PdP).

Ia turut bertujuan mengenal pasti, memberi pengiktirafan serta berkongsi amalan terbaik projek-projek serta inisiatif yang telah dilaksanakan sama ada di peringkat institusi atau individu.

Selain itu, Anugerah AKRI diperkenalkan bagi menyemarakkan dan berkongsi amalan terbaik pemikiran dan reka bentuk semula pengajian tinggi di negara ini.

USM ungguli Anugerah Khas AKRI 2022

Tahun ini sebanyak enam kategori dipertandingkan iaitu Kategori Pengajaran Transformatif (Individu), Kategori Pengalaman Pembelajaran Imersif (Maya), Kategori Pengalaman Pembelajaran Imersif (Teradun) Berkumpulan, Kategori Pengalaman Pembelajaran Imersif (Bersemuka), Kategori Pentaksiran alternatif dan Kategori Kurikulum Program Pengajian Inovatif.

AKRI 2022 juga disifatkan telah berjaya mengetengahkan inovasi dan kreativiti dalam memperkasakan PdP yang akan memberi impak kepada masyarakat dan negara melalui 220 penyertaan daripada Universiti Awam, Institusi Pendidikan Tinggi Swasta, Politeknik dan Kolej Komuniti.

Dalam satu perkembangan lain, Universiti Malaysia Sabah (UMS) turut melakar kejayaan apabila dua daripada tiga pensyarah yang mengambil bahagian dalam penganugerahan itu dipilih sebagai johan dan naib johan.

Pensyarah Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa (PPIB) UMS, Dr. Nur Thara Atikah Zainal muncul johan bagi Kategori Pengajaran Transformatif (Individu) melalui projek PEERS: The Digital Siswapreneurship Learning Process.

Manakala naib johan Kategori Pengalaman Pembelajaran Imersif (Teradun) Berkumpulan pula jatuh kepada pensyarah Fakulti Kejuruteraan UMS, Prof. Madya Dr. Mohd Kamaruddin Abd Hamid (FKJ) menerusi tajuk projek Blended-Cooperative Learning Environment for Immersive Learning Experiences in Process Simulation Course.

Dalam pada itu, johan bagi Kategori Pengalaman Pembelajaran Imersif (Maya) menjadi milik Choong Wai Keng dari Universiti Taylor; johan Kategori Pentaksiran Alternatif jatuh kepada Prof. Madya Dr. Che Maznah Mat Isa dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan johan Kategori Kurikulum Program Pengajian Inovatif diterima Prof. Madya Dr. Noor Dayana Abd Halim dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Pada tahun ini, tiada johan untuk kategori Pengalaman Pembelajaran Imersif (Teradun).



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker