Tersemat dalam ingatan…

Gombak: Biarpun sudah 11 bulan berlalu, Maidzatul Nadia Mahadzir belum dapat melupakan suami, Zaili Zulkanin@Mohd Isa dan ibunya, Paudziah Abd Hamid yang meninggal dunia akibat Covid-19.

Allahyarham suaminya terlebih dahulu dijemput Ilahi pada 13 Julai tahun lalu disusuli ibunya lima hari kemudian dengan kedua-duanya disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah, Batu Caves, di sini.

Kini Maidzatul Nadia menumpang kasih dengan lima anaknya dan bapa, Mahadzir Md Noor, 64, yang tinggal bersamanya.

“Jujurnya saya masih tidak kuat untuk terima kenyataan dan teruskan hidup tanpa suami serta mama.

“Pada hari keempat kuarantin, paras oksigen suami menurun dan oleh kerana ambulans tidak datang mengambilnya di rumah, saya hantar sendiri suami ke hospital.

“Mulanya suami sedar namun dia kemudian ditidurkan (diintubasi) selama tiga hari dan akhirnya meninggal dunia. Ikutkan tahap kesihatan mama semakin baik namun entah kenapa merosot dan turut meninggal dunia selang lima hari kemudian,” katanya yang bekerja sebagai pegawai bank.

Lebih menyedihkan Maidzatul Nadia apabila dia tidak dapat menguruskan jenazah suami dan ibunya sebaliknya hanya dapat menziarahi pusara sahaja kerana pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan ketika itu.

“Walaupun saya anak namun mama lebih rapat dengan suami malah mereka sering ke pasar bersama dan tak sangka temui ajal dalam tempoh masa selang lima hari sahaja antara satu sama lain.

“Sebelum meninggal dunia, suami ada nyatakan keinginannya untuk pergi bercuti di Pulau Perhentian kerana mahu tenangkan diri malah sudah membayar wang pendahuluan untuk kami sekeluarga namun belum boleh merentas negeri ketika itu.

“Ditakdirkan hajatnya tidak kesampaian kerana dia meninggal dunia sebelum sempat membawa kami sekeluarga bercuti,” katanya.

Maidzatul Nadia berkata, dia kini masih mengumpul kekuatan bagi mengharungi hari mendatang.

“Saya belum boleh move on kerana sebelum ini, masa banyak dihabiskan dengan mereka.

“Tetapi saya cuba juga kerana ada tanggungjawab untuk membesarkan anak dan menjaga abah,” katanya.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker