Kawan ‘makan’ kawan, demi selamatkan diri
Oleh – Kamala Jivan
Istilah kawan ‘makan’ kawan demi selamatkan diri sering berlaku di dunia ini. Bukan sahaja perlakuan tersebut terkutuk, malah ia sangat dibenci ramai.
Kisah ini berlaku ketika 3 orang sahabat baik, Musa, Ma’el dan Det mengambil keputusan untuk berlayar merentasi lautan bagi menghabiskan zaman ‘bujang’ sebelum mereka berkahwin dengan pasangan masing-masing.
Menggunakan kapal layar mewah yang dinamakan ‘Akuaminity’, 3 orang sahabat memulakan pelayaran merentasi lautan Pasifik menuju ke lautan Hindi.
Segalanya berjalan dengan lancar, kapal layar mewah pula dilengkapi dengan peralatan serba canggih dan sistem teknologi terkini.
Siapa sangka, di tengah pelayaran, ribut taufan paling buruk berlaku. Walaupun kapal layar ‘Akuaminity’ serba canggih, ia tetap tidak boleh melawan kekuatan semulajadi ribut taufan.
Kapal mereka dilanggar taufan lantas terlantar di sebuah pulau yang sangat asing. Peralatan komunikasi serta segalanya telah rosak teruk dan tidak boleh digunakan lagi.
BOTOL DISANGKA ADA AIR MINUM
Maka, 3 sahabat berjalan mengelilingi pulau bagi mencari bantuan. Tiba disatu kawasan berpasir yang sangat cantik, Ma’el ternampak sebiji botol yang disangkanya menganduni air minum. Lantas, Ma’el mengambil dan membuka tudung botol tersebut.
Sekonyongnya keluarlah seekor jin dari botol seraya berkata “engkau telah membebaskan aku, maka aku akan tunaikan permintaan kalian, tetapi hanya satu permintaan bagi seorang”.
Musa meminta agar dia dipindahkan dari pulau ke sebuah rumah mewah dan diberikan kekayaan mencukupi selama 7 keturunan. Permintaan Musa ditunaikan jin maka hilanglah Musa dari pandangan 2 sahabat.
Kemudian Det pula meminta agar dia berpindah ke sebuah Istana penuh dengan dayang-dayang dan harta yang melimpah ruah mencukupi untuk 9 keturunan. Jin terus menunaikan permintaan Det dan kini tinggallah Ma’el keseorangan.
Lantas, jin bertanya kepada Ma’el, “apakah permintaan kau wahai manusia?”, terus Ma’el menjawap, “wahai jin, kau bawakan kembali kawan aku bersama aku di pulau ini, aku kesunyian tanpa mereka berdua dan mereka berjanji tidak akan meninggalkan aku walau apa berlaku tetapi ternyata mereka hanya pentingkan diri, dua-dua ini manusia jenis kawan ‘makan’ kawan”.
Dalam sekelip mata, kedua-dua sahabat Ma’el dibawa kembali ke pulau untuk bersamanya dan terus berada di pulau tersebut sehingga mati.