Cederakan pelajar junior, 9 senior didakwa

Teluk Intan: Sembilan pelajar lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Teluk Intan di sini, hari ini atas pertuduhan menyebabkan kecederaan parah terhadap juniornya.

Bagaimanapun, kesemua tertuduh berusia 17 tahun terbabit mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Nur Faizah Mohamad Saleh.

Mengikut kertas pertuduhan, mereka secara bersama didakwa menyebabkan kecederaan parah terhadap mangsa berusia 14 tahun.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di bilik asrama lelaki sebuah sekolah menengah di sini, pada 12.30 tengah malam 23 Jun lalu.



Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda, jika disabitkan bersalah.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Azalea Sharmeen Zaizan, manakala semua tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Francis Sinnappan.

Mahkamah kemudiannya membenarkan setiap pelajar berkenaan diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 5 Oktober ini untuk sebutan semula kes.

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan seorang pelajar tingkatan dua cedera dipukul 10 pelajar senior yang turut menggunakan seterika panas di asrama sebuah sekolah menengah.



Siasatan polis mendapati kejadian berpunca kerana cemburu apabila mangsa berbual dengan seorang pelajar perempuan yang juga teman wanita kepada seorang dariada kumpulan pelajar senior terbabit.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker