Kepala air Lata Ulu Kasar: Kereta hanyut 2 kilometer

Kuala Berang: “Alhamdulillah, syukur walaupun dua kenderaan mengalami kerosakan namun saya bersama 11 lagi ahli keluarga selamat,” kata Rino Herman Abdul Samad, 42, dari Kampung Bukit Acheh di sini.

Dalam kejadian kepala air di Lata Ulu Kasar, Setiu pada petang Jumaat lalu itu, dua kereta Proton Wira dan Savvy mengalami kerosakan.

Menurutnya, Proton Savvy dihanyutkan arus sungai sejauh dua kilometer, manakala Wira pula tidak hanyut namun ditenggelami air dalam kejadian itu.

Katanya, anggaran kerugian hampir RM10,000 apabila kedua kereta itu mengalami kerosakan selain terpaksa ditunda ke bengkel.

“Kos perkhidmatan trak tunda adalah RM400, manakala pengurusan Kampung Merbau Menyusut membantu menyediakan jengkaut untuk membawa keluar kereta dari dalam sungai ke bahu jalan.

“Tiga motosikal yang dibawa ahli keluarga sempat dibawa naik ke kawasan selamat.

“Kerja-kerja membawa pulang kereta dilakukan pada 4 petang Sabtu dan selesai pada sebelah malamnya,” katanya.

Menurutnya, dia bersama 11 lagi ahli keluarga bertolak ke Lata Ulu kasar pada 3 petang dengan menaiki dua kereta dan tiga motosikal.

Menceritakan pengalaman terbabit dalam insiden itu, Rino berkata, selepas melihat keadaan air yang naik mendadak dia mengarahkan ahli keluarganya naik ke tebing.

“Namun, lima ahli keluarganya turun semula ke sungai bagi membantu pengunjung lain yang terperangkap di tengah sungai berkenaan.

“Alhamdulillah, semua selamat dan selepas itu saya menaiki motosikal ke puncak bukit sejauh 500 meter untuk menghubungi rakan di kampung bagi memaklumkan kejadian itu,” katanya.

Menurutnya, rakan sekampung datang membantu membawanya, isteri, Mahfuzah Abd Aziz, 42, dan ahli keluarga pulang selepas selesai memberi keterangan kepada pihak polis dan bomba berkaitan kejadian itu.

Anaknya, Putri Nurerma Afiera, 20, berkata, pada awalnya mereka sekeluarga tidak berhajat untuk berkelah di Lata Ulu Kasar itu.

Katanya, suasana perkelahan pada hari itu tidak ceria kerana suaminya, Norsarudin Ridzuan, 23, dan abang, Muhammad Afiq Eriezal, 23, serta emak hanya memancing saja.

“Mereka tidak mandi seperti perkelahan sebelum ini dan suasana agak hambar sebelum berlakunya kejadian kepala air itu,” katanya.

Menurutnya, melihat keadaan air yang semakin laju dan melimpah ke tempat parkir kenderaan, dia bersama ahli keluarga yang lain terus mengambil barangan berharga di dalam kereta.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker