‘Umpama langit kita junjung’

Kajang: Sejak zaman dahulu lagi tanjak begitu sinonim sebagai pakaian tradisi kemuliaan Melayu sehinggakan orang mengenali status seseorang itu menerusi jenis dan warna tanjak dipakainya.

Aksesori tradisional lelaki itu dianggap penting kerana melambangkan taraf dan martabat si pemakainya bermula dari kerabat diraja, pembesar masyarakat, pahlawan Melayu sehinggalah ke rakyat biasa.

Pengarang tanjak, Mohd Herin Mansor, 42, berkata, sebagai anak jati Malaysia dia berbangga berpeluang mewarisi ilmu pembuatan salah satu peninggalan warisan penting Melayu.

“Saya pernah dijemput ke Indonesia dan Singapura untuk memberikan ceramah berkaitan busana tradisional Melayu.

“Setiap kali saya tampil dengan menggayakan busana Melayu lengkap dengan bertanjak, mereka berminat dan terpegun dengan seni warisan negara kita.

“Dari situ ia menguatkan lagi semangat saya untuk terus memperkenalkan warisan kita ini bukan saja dalam negara terutama kepada generasi muda, tetapi juga di mata dunia supaya ia tidak lenyap,” katanya.

Sama seperti kemerdekaan, bapa tiga anak itu berkata, amat penting warisan tanjak juga perlu dipelihara supaya ia tidak luput ditelan zaman.

“Falsafah tanjak secara asasnya, kain yang dibentangkan itu adalah tapak umpama tanah yang kita pijak sebelum kita karang atau gubah (lipat dan bentuk) menjadi tanjak.

“Kemudian apabila siap kita pakai di kepala umpama langit yang kita junjung. Begitulah tingginya martabat tanjak ini. Apabila kita bersetuju dengan hakikat ini kita perlu akui bahawa negara ini adalah tanah yang kita pijak dan kemerdekaannya harus dipertahankan begitu juga dengan warisan tanjak ini.

“Jadi, penting cara pembuatan dan pemakaiannya perlu dikekalkan berdasarkan asal usulnya kerana ia mempunyai nilai budaya, adab dan adat tersendiri yang perlu kita pelihara dan sanjungi,” katanya.

Menurutnya, dia masih menggunakan kaedah pembuatan lama bagi mengekalkan dan menghormati seni warisan asal tanjak.

“Untuk tanjak lama yang wujud pada zaman raja-raja dahulu, kain didalamnya akan dikanjikan terlebih dulu supaya ia menjadi keras dan stabil sebelum mudah untuk dikarang tetapi kain itu masih lembut dan tidak boleh bertahan lama.

“Sebab itu konsep tanjak zaman dahulu buat sekali, pakai sekali saja dan kalau hendak pakai lagi kena kanjikan dan buat semula. Tetapi, sekarang ini kita menggunakan kain gam supaya kestabilannya menjadi tahan lebih lama dan jimat kepada pelanggan apabila boleh pakai lama sampai lima tahun.

“Namun, dari segi bentuknya saya masih mengekalkan kaedah pembuatan lama iaitu melipat dan menyimpulnya secara manual bukan dijahit kerana saya masih berpegang kepada prinsip menghormati dan tidak mahu membunuh warisan kita semata-mata mencari keuntungan,” katanya.

Katanya, tanjak mempunyai ratusan jenis antaranya Thakur Tukang Besi, Nakhoda Terung, Mahkota Alam, Ajutan Bingas, Anderi Guru Selebu, Bugis Tak Boleh serta Cogan Daun Kopi dengan setiap bentuk, corak serta kain bergantung kepada taraf seseorang.

“Setiap jenis ada cerita dan sebab tersendiri kerana itu kenapa karangan (gubahan) juga berbeza-beza. Zaman dahulu, ia juga menjadi lambang status si pemakainya sebab itu ada jenis hanya sultan atau raja Melayu saja pakai bukan untuk rakyat biasa.

“Biasanya orang akan pakai tanjak yang tiada kaitan dengan negeri atau kerabat diraja seperti Solok Timbo, Baling Raja Selangor atau Ayam Latah Kepak kerana Raja Melayu masing-masing memakai tanjak khusus.

“Bagi orang besar seperti golongan kenamaan, mereka gemar memakai tanjak Kelongsong Bunga,” katanya yang mahir mengarang 120 jenis tanjak.

Bekas jururawat itu berkata, walaupun zaman berubah, dia bersyukur tanjak tetap mempunyai peminatnya tersendiri termasuk pengumpul koleksi aksesori itu.

“Selain dipakai untuk acara di istana seperti pengurniaan darjah kebesaran dan sebagainya, tanjak juga banyak digayakan pada majlis perkahwinan, teater serta sebagai cenderahati dan ada juga anak muda menggayakannya bagi menggantikan songkok atau topi.

“Malah, ada juga yang sanggup mengeluarkan belanja tinggi kerana suka mengumpul koleksi tanjak diperbuat daripada kain antik seperti kain tenun lama yang memang susah hendak dapat pada masa sekarang dan harganya boleh mencecah RM1,500 ke atas,” katanya.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker